BADAN Bertindak Imunisasi Covid-19 (CITF) memohon maaf berhubung gangguan teknikal ketika pusingan kedua tempahan slot janji temu vaksin AstraZeneca secara sukarela yang dibuka hari ini.
CIFT dalam kenyataan berkata, siasatan sudah dimulakan ke atas pembekal perkhidmatan yang menyebabkan pengguna berdepan kesukaran mengakses beberapa ciri di laman sesawang CITF ketika permohonan dibuka kepada individu berusia 18 tahun ke atas di Kuala Lumpur, Selangor, Pulau Pinang, Johor dan Sarawak.
Menurut kenyataan itu, ia membabitkan penilaian perkhidmatan diberi pembekal, selain tindakan akan diambil kepada mana-mana pihak yang lalai dan culas melaksanakan tanggungjawab mereka.
Katanya, siasatan itu diketuai Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU) dengan isu terbabit akan diperhalusi, selain tindakan segera diambil memperbaiki sistem sedia ada.
“Kami mengambil maklum ramai rakyat berminat divaksin, tetapi gagal membuat tempahan.
“Sekali lagi diingatkan, individu yang sudah berdaftar di bawah Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) akan tetap mendapat suntikan vaksin menerusi PICK, terutama apabila kadar vaksinasi ditingkatkan dalam tempoh mendatang.
“Kami memohon maaf di atas segala kesulitan dihadapi dan sentiasa terbuka untuk sebarang maklum balas serta teguran daripada semua pihak,” kata kenyataan itu.
Sebanyak 956,609 tempahan bagi penduduk berusia 18 tahun ke atas sudah dipenuhi ketika pusingan kedua tempahan slot janji temu vaksin AstraZeneca secara sukarela hari ini.
Pada masa sama, CITF juga berterima kasih di atas sambutan baik orang ramai yang sudah menjalankan tanggungjawab bagi memastikan negara mencapai imuniti kelompok seperti disasarkan.
“Inisiatif yang dibuka kepada penduduk Malaysia berusia 18 tahun ke atas di Kuala Lumpur, Selangor, Pulau Pinang, Johor dan Sarawak habis ditempah dalam masa kira-kira sejam selepas dibuka.
“Sebanyak 1,261,000 dos ditawarkan, yang mana 275,208 dos ditempah warga emas ketika inisiatif ini dibuka mulai 23 Mei hingga hari ini.
“Sementara itu, seramai 29,183 orang dalam senarai menunggu vaksin Astrazeneca sebelum ini dimasukkan dalam senarai giliran kali ini,” katanya.
Hari ini, tular di media sosial netizen menyuarakan masalah mengalami kesukaran ketika hendak membuat pendaftaran janji temu slot vaksin AstraZeneca iaitu tidak boleh mengakses laman terbabit dan sukar untuk menekan butang pilihan negeri, menyebabkan slot tempahan sudah penuh. – Malaysiapost
Artikel berkaitan :

