Kempen Aid4Palestine berjaya kumpul RM16.8 juta

0
1

SEBANYAK RM16.8 juta sumbangan berjaya dikumpulkan dalam fasa pertama kempen Aid4Palestine bagi disalurkan kepada rakyat Palestin.

Pengerusi Sekretariat Aid4Palestine, Muhammad Khalil Abdul Hadi, berkata jumlah sumbangan yang berjaya dikutip itu melebihi sasaran awal iaitu RM1 juta.

“Sekretariat Aid4Palestine ingin menzahirkan rasa syukur atas kejayaan fasa pertama dalam misi menghantar bantuan kepada rakyat Palestin seperti yang dirancang sebelum ini.

“Jumlah yang dikumpul ini merangkumi sumbangan daripada pelbagai pihak termasuk agensi kerajaan, parti politik, badan bukan kerajaan (NGO) dan masyarakat awam.

“Daripada jumlah keseluruhan tersebut, sumbangan terbesar yang diterima adalah daripada PASRelief, iaitu sebanyak RM 12.1 juta,” katanya dalam satu kenyataan malam tadi.

Beliau berkata, ribuan terima kasih diucapkan kepada seluruh pihak yang membantu untuk menjayakan misi fasa pertama khususnya para penyumbang dan pihaknya memberi jaminan 100 peratus sumbangan akan disalurkan kepada rakyat Palestin.

“Kami juga mengharapkan usaha ini dapat diteruskan dengan lebih hebat melalui sumbangan fasa kedua yang akan berakhir 30 Syawal ini.

“Kejayaan fasa pertama ini membuktikan bahawa perjuangan Palestin ini telah menjadi sebahagian daripada rakyat Malaysia dan ia dapat dilihat melalui sumbangan yang telah diterima daripada seluruh rakyat tanpa mengira latar belakang agama, bangsa mahupun kedudukan,” katanya.

Muhammad Khalil berkata, lebih menyentuh hati, usaha itu turut disokong sepenuhnya oleh rakyat dalam kalangan pekebun, penoreh, peniaga jalanan, dan lain-lain yang mengerahkan segala kemampuan untuk menjayakan usaha berkenaan.

“Sumbangan fasa pertama telah mula disalurkan melalui Duta Aid4Palestine yang telah dilantik iaitu Nadir Al-Nuri dan Abu Ayesh An-Najjar serta sebarang perkembangan lanjut akan dilaporkan didalam saluran media rasmi Aid4Palestine.

“Teruskan menyalur bantuan bagi membantu perjuangan palestin, khususnya bagi menyokong usaha fasa kedua Aid4Palestine yang sedang berlangsung,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here