TUN Dr Mahathir Mohamad menyifatkan kerajaan gagal mengekang penularan wabak Covid-19 walaupun dengan pengisytiharan darurat selain menggunakan peruntukan mencecah RM600 bilion untuk melawan pandemik.
Bekas Perdana Menteri, itu berkata ia dibuktikan dengan jumlah peningkatan jumlah kes baharu yang meningkat hampir 7,000 kes pada ketika ini.
“Kononnya sebanyak RM600 billion sudah dibelanja oleh Kerajaan dalam masa hanya lima bulan. Tetapi di mana pergi duit ratusan billion ini.
“Bukan mudah untuk belanja duit sebanyak ini. Beli vaksin ke? Tak akan habis 600 billion beli vaksin. Apa harga vaksin? Siapa yang membeli? Kenapa sedikit sangat yang sudah diterima?,” soalnya dalam kenyataan menerus blog chedet.cc
Dr Mahathir berkata, hasil sebenar yang jelas daripada pelaksanaan darurat ialah kedudukan Perdana Menteri tidak boleh dicabar dan kuasanya mengatasi Perlembagaan Negara dan semua undang-undang.
“Namun dengan kuasa tanpa had ini, bukan sahaja wabak Covid-19 tidak dapat dikawal tetapi keadaan ekonomi, politik dan sosial menjadi lebih teruk lagi. Angka prestasi ekonomi dikatakan lebih baik dari sebelum wabak, tetapi rakyat tidak sedikit pun merasai kebaikan ini,” katanya.
Mengulas lanjut, Dr Mahathir berkata, sememangnya lockdown di seluruh negara akan mengundang masalah ekonomi dan sosial kerana orang ramai termasuk penjual makanan tetap tidak dapat berniaga.
“Lockdown tetap akan jejaskan ekonomi. Kita tidak ada pilihan. Ekonomi yang rosak boleh diperbaiki. Kematian kerana Covid-19 tidak ada pemulihan.
“Justeru, kaedah terbaik untuk menyelamatkan diri dari jangkitan Covid-19 selain dari suntikan vaksin ialah dengan menjauhkan diri dari orang lain dengan jarak lebih dari satu meter.
“Menjauhkan diri dari orang lain penting kerana virus ini boleh airborne – ditiup angin. Memang susah. Tetapi tidak ada jalan yang senang melawan Covid-19,” katanya.
Justeru, beliau berkata, kerajaan perlu membekalkan rakyat yang ‘dikurung’ makanan termasuk mencadangkan untuk mengupah peniaga makanan yang terkesan sebagai tukang masak ‘public kitchen’
“Inilah sebabnya Kerajaan perlu sediakan makanan untuk mereka yang kebuluran kerana Covid-19.
“Jika Kerajaan punyai wang, gunakan untuk lawan Covid-19. Membekal makanan, upah untuk tukang masak memerlu peruntukan yang tinggi. Tetapi berbaloi. Tak payahlah kontrak-kontrak diberi di waktu ini,” katanya.
Dalam perkembangan sama, Dr Mahathir berkata, individu yang tidak dijangkiti wabak itu hingga kini ialah mereka yang mengamalkan prosuder operasi standard (SOP) dengan baik.
“Tetapi mereka yang berkuasa hendaklah tentukan SOP diamal dengan baik oleh semua. Menentu SOP dipatuhi lebih baik dari mengena denda yang tidak dapat dibayar oleh orang yang sudah miskin kerana tidak dapat bekerja dan berniaga,” katanya. – Malaysiapost

