Pelanggaran SOP terbongkar apabila ramai ahli keluarga positif Covid-19

0
1
Orang ramai menunggu giliran bagi menjalani saringan Covid-19 di Dewan Seri Siantan Sungai Tua hari ini.

PUNCA utama peningkatan kes Covid-19 adalah pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di kalangan masyarakat yang mewujudkan pelbagai kluster dengan jumlah jangkitan yang tinggi.

Pengarah Kesihatan Terengganu, Dr Nor Azimi binti Yunus, berkata pelanggaran SOP itu dibuat sama ada secara sembunyi atau terang-terangan, namun akhirnya terbongkar apabila ramai ahli keluarga positif dan kes naik mendadak di satu-satu lokaliti.

“Seramai 13 orang rentas negeri (pelbagai alasan) di Kuala Terengganu akhirnya 40 disahkan positif dan sembilan orang rentas negeri di Hulu Terengganu akhirnya 26 disahkan positif, manakala lapan lagi rentas negeri dan daerah di Kemaman yang akhirnya 24 orang disahkan positif,” katanya dalam satu hantaran di Facebook malam tadi.

Beliau mengakui, ramai juga yang bertindak bagus apabila merentas negeri dengan terus membuat penilaian risiko dan kurantin diri sendiri yang jika ada jangkitan sekalipun, hanya keluarga terdekat dijangkiti, bukan ramai orang.

Menurutnya, antara pelanggaran SOP lain yang dikesan adalah ziarah Aidilfitri secara diam-diam dengan alasan babitkan ahli keluarga sahaja, namun akhirnya jangkitan besar berlaku.

“Larangan buat majlis berbuka puasa atau tadarus dan gotong royong juga dilanggar. Siap sembelih kerbau lagi. Buat kat kampung sebab ingat orang tak nampak. Akhirnya terbongkar bila ramai jemaah masjid dan tadarus positif. Kalau patuh SOP kenapa sebegitu meluas jangkitan?

“Orang larang berkumpul ramai-ramai dan elak tempat sesak tapi kita buat juga. Kita masih ‘shopping’ sakan nak raya dan berbuka ramai-ramai hingga penuh kedai makan dan pasar raya.

“Terbaharu, sebuah pasar raya baru saja ditutup 14 hari kerana 17 pekerjanya disahkan positif. Mereka bertebar di beberapa daerah, pasti ribuan yang masuk ke pasar raya itu masa nak raya baru ini,” katanya.

Dr Nor Azimi berkata, individu yang diwajibkan kuarantin di rumah juga melanggar larangan tanpa memikirkan risiko kepada orang lain.

“Pelanggaran demi pelanggaran berlaku yang hasilnya kita nampak sekarang kes naik berlipat kali, kematian berkali ganda. Walaupun pahit kena akui hakikat kita turut sama penyumbang kepada kenaikan kes meningkat ini.

“Kita akui ramai yang patuh SOP dan kekal duduk di rumah, namun tidak mencukupi jika ramai lagi yang langgar SOP.

“Esok (hari ini) akan bermula PKP 3.0. Kita buka buku baru dengan kekal patuh SOP dan had Pergerakan. Nasihat ini untuk semua lapisan masyarakat tidak kira siapa kerana Covid-19 tak kenal siapa kita,” katanya.

Beliau berkata, longgar atau ketat SOP setiap individu yang menentukannya sendiri dengan kawalan kendiri. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here