“IMPAKNYA sangat kuat, mengakibatkan ramai penumpang yang sedang duduk dan berdiri terpelanting,” kata Afiq Luqman Mohd Baharudin, 27.
Dia antara penumpang yang cedera dalam insiden dua tren LRT Laluan Kelana Jaya bertembung berdekatan Stesen LRT KLCC, malam tadi.
Menceritakan kejadian itu, Afiq Luqman berkata, tren berkenaan dipercayai berhenti selama 15 minit dan bergerak semula selama beberapa saat sebelum berlanggar mengakibatkan penumpang terpelanting dan terjatuh.
“Sewaktu kejadian, tren menghampiri KLCC dan saya nak ke Ara Damansara.
“Kemalangan berlaku di laluan bawah tanah berhampiran KLCC dan impaknya sangat kuat, mengakibatkan ramai penumpang yang sedang duduk dan berdiri terpelanting,” katanya seperti dilapor Bernama.
Afiq Luqman berkata, kejadian itu menyebabkan dia mengalami kecederaan di kepala, kaki kiri dan dada.
Menurutnya, tidak lama selepas kejadian, pasukan keselamatan tiba dan mengeluarkan kesemua penumpang termasuk dirinya yang kemudian dibawa ke Hospital Kuala Lumpur untuk rawatan lanjut.
Sementara itu, seorang pengguna Twitter Lim Mahfudz yang berkongsi video dan gambar kemalangan yang dirakamnya sendiri.
“Keseluruhan video ini saya rekod sendiri dan saya baik-baik saja, tidak mengalami sebarang kecederaan. Syukur kepada Tuhan kerana melindungi saya. Bagi saya, kejadian ini adalah satu tragedi dan satu mimpi ngeri yang benar-benar berlaku dalam hidup saya,” tulisnya.
Katanya, ada penumpang cedera akibat terkena serpihan cermin tingkap tren yang pecah dan ada yang terpelanting selepas tren itu berhenti secara mengejut.
Dalam insiden malam tadi, seramai 47 penumpang parah manakala 166 cedera ringan apabila dua tren LRT bertembung dalam kemalangan berhampiran Stesen KLCC.
Siasatan awal mendapati, tren tersebut bertembung dengan sebuah tren rosak yang sedang dipandu uji secara kawalan manual tanpa diselaras dengan pusat kawalan.
Kejadian jam 9.15 malam itu melibatkan tren bernombor 40 dan 81. – Malaysiapost

