Kapasiti penumpang pengangkutan awam dihadkan 50 peratus hari ini

0
1

KEMENTERIAN Pengangkutan (MOT) memaklumkan semua perkhidmatan pengangkutan awam dan darat akan beroperasi dengan kapasiti penumpang 50 peratus bermula hari ini.

Menterinya, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong, berkata bagaimanapun operator bagi perkhidmatan penerbangan dikecualikan daripada arahan berkenaan kerana kapasiti penumpang bagi sektor penerbangan sedia rendah.

Beliau berkata, arahan itu selaras dengan ketetapan Majlis Keselamatan Negara (MKN) untuk memperketatkan prosedur operasi standard (SOP) dalam menangani situasi pandemik Covid-19 seperti yang dimaklumkan Sabtu lalu.

“Sehubungan itu, saya meminta semua operator yang berkaitan supaya menguatkuasakan SOP baharu mengikut ketetapan MKN dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam usaha mengekang penularan pandemik Covid-19.

“Saya juga amat berharap para pengguna pengangkutan awam dapat bersabar dan memahami situasi semasa yang terpaksa kita harungi,” katanya.

Sehubungan itu, Ka Siong berkata, beliau berharap semua pihak dapat mematuhi segala SOP tanpa kompromi dan amalkan norma baharu kerana melawan Covid-19 adalah tanggungjawab bersama.

Terdahulu, Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, menyifatkan pengurangan kekerapan jadual perjalanan perkhidmatan pengangkutan awam seperti Transit Aliran Ringan (LRT), Transit Aliran Massa (MRT) dan monorel adalah tidak sesuai dipraktikkan ketika ini.

Beliau berkata, berdasarkan jadual baru LRT, tren hanya akan ada setiap 30 minit dan setiap 10 minit pada waktu puncak.

“Ini bukan cara yang betul untuk melawan Covid-19 kerana jumlah penumpang akan lebih ramai di dalam satu kereta api. Semua tunggu 30 minit untuk satu perjalanan, ramailah orang berhimpit.

“Sepatutnya kalau nak kurangkan jumlah kepadatan penumpang, tambah lagi kekerapan kereta api. Ini logik mudah yang sepatutnya kerajaan dan Pengerusi Prasarana tahu,” katanya. – Malaysiapost

Artikel berkaitan:
https://malaysiapost.com.my/2021/05/25/insiden-lrt-tambah-kekerapan-tren-bagi-elak-kesesakan-syed-saddiq/

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here