PENDEKATAN lebih tuntas diperlukan dalam menangani pandemik Covid-19 yang semakin menular terutama dari segi sistem penyampaian maklumat mengenai vaksinasi.
Exco Pemuda Umno, Mustafa Shah Abdul Hamid, berkata jika penularan wabak berkenaan gagal diatasi segera, ia dikhuatiri melumpuhkan sistem kesihatan negara dengan petugas barisan hadapan mengalami kepenatan kerana kes meningkat setiap hari.
Menurutnya, berdasarkan situasi terkini, selain memperkemas prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0, kerajaan perlu memperkemaskan lagi program vaksinisasi yang dilihat agak perlahan selain gagal menyakinkan rakyat.
“Ketidakhadiran kira-kira 10,000 individu yang sepatutnya menerima vaksin di Kelantan seperti dilaporkan semalam, memberi isyarat jelas rakyat gagal menerima maklumat tepat dan jelas serta menyakinkan berhubung vaksinasi.
“Kerajaan perlu mempertingkatkan sistem penyampaian selain lebih terbuka dengan membenarkan pendaftaran vaksinisasi secara ‘walk in’ kerana ramai di luar sana berhasrat untuk mendapatkan vaksin namun masih belum berpeluang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mustafa Shah berkata, kerajaan perlu mencari formula berkesan bukan saja untuk menyakinkan rakyat, malah mempercepat lagi proses pemberian vaksin.
“Kita tidak boleh mengambil masa sehingga empat atau lima tahun untuk memastikan 80 peratus populasi rakyat Malaysia menerima suntikan vaksin,” katanya. – Malaysiapost

