4 jam waktu operasi pasar malam terlalu singkat – peniaga

0
1

Nurul Huda Abhar

WAKTU operasi pasar malam selama empat jam sahaja sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 mulai hari ini, dikhuatiri menyebabkan orang ramai bersesak-sesak untuk membeli makanan.

Pengerusi Persatuan Peniaga Pasar Malam Bumiputera Shah Alam dan Klang, Kamarul Nizam Razak berkata, keadaan tersebut dibimbangi meningkatkan risiko jangkitan Covid-19 dalam kalangan peniaga dan pengunjung pasar malam.

Pengerusi Persatuan Peniaga Pasar Malam Bumiputera Shah Alam dan Klang, Kamarul Nizam Razak

“Bagi peniaga pasar malam, kami beranggapan tidak sesuai beroperasi sehingga 8 malam. Tempoh tersebut untuk operasi bazar Ramadan memang sesuai, tapi untuk pasar malam tidak.

“Ia kerana bagi yang balik kerja jam 5 atau 6 petang, sudah tentu berpusu-pusu ke pasar malam kerana operasi tutup pada 8 malam. Yang datang ke pasar malam selalunya pekerja kilang, pelajar, golongan B40.

“Fikirkan pula yang balik kerja jam 7 malam, waktu untuk mereka lagi terhad. Memang semua tertumpu dalam waktu yang sama. Saya bimbang wujud kluster pasar malam dan peniaga akan dipersalahkan,” katanya ketika dihubungi Malaysiapost.

Kamarul Nizam berkata, kerajaan perlu mempertimbangkan melewatkan satu jam lagi waktu pasar malam beroperasi iaitu sehingga 9 malam.

Beliau berkata, kebiasaannya pasar malam sesak pada waktu petang dan selepas Maghrib oleh kerana waktu tamat kerja yang berbeza.

“Kebiasaannya waktu pasar malam akan sesak pada waktu petang dan selepas Maghrib. Dalam sekitar jam 7.40 malam hingga dekat 9 malam.

“Cumanya, yang akan jadi tumpuan adalah makanan dan minuman. Barangan kering, buahan-buahan, pakaian, sayur dan bahan basah akan terjejas teruk kerana waktu jualan singkat,” ujarnya lagi.

Sementara itu, Kamarul Nizam memberitahu peniaga barang kering, pakaian atau bahan mentah mengambil masa dalam satu jam untuk menyusun barangan jualan mereka,

Tambah beliau, jika ketetapan waktu jualan sehingga jam 8 malam tidak boleh diubah, maka pihak berwajib diminta membenarkan pasar malam beroperasi lebih awal.

“Benarkan peniaga pasar malam mula menjual jam 2 petang. Jadi waktu jualan panjang dan peniaga boleh ambil masa untuk susun barangan mereka.

“Buat masa ini mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang dikeluarkan urusan jual beli bermula 4 petang sehingga jam 8 malam.

“Saya harap pertimbangkan cadangan ini, kerana peniaga pasar malam hanya diberi waktu empat jam sahaja, manakala food truck atau penjaja tepi jalan 8 pagi hingga 8 malam,” katanya.

Bermula hari ini, waktu operasi bagi sektor ekonomi akan dihadkan dari jam 8 pagi sehingga 8 malam berkuatkuasa bagi memastikan pergerakan orang ramai dapat dikurangkan.

Waktu operasi perniagaan juga akan dikurangkan mulai 8 pagi sehingga 8 malam sahaja, manakala perniagaan pasar malam bermula pada pukul 4 petang sehingga 8 malam dan kedai farmasi boleh beroperasi dari 8 pagi sehingga 10 malam.

Manakala waktu operasi perniagaan bagi pusat beli-belah, kedai serbaneka, gerai, dobi dan stesen minyak (kecuali di lebuh raya) juga ditetapkan dari 8 pagi hingga 8 malam sahaja. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here