Insiden LRT: 6 mangsa kritikal, 3 guna bantuan pernafasan

0
1

ENAM penumpang yang terlibat insiden dua tren Transit Aliran Ringan (LRT) Laluan Kelana Jaya bertembung berdekatan Stesen LRT KLCC, malam tadi dilaporkan kritikal.

Difahamkan, tiga daripadanya menggunakan alat bantuan pernafasan dan kini dirawat di Hospital Kuala Lumpur (HKL).

Perkara itu dimaklumkan Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa dalam ciapan di laman Twitter.

Katanya, berdasarkan maklumat terkini HKL, 15 penumpang lagi berada dalam keadaan separa kritikal manakala 43 orang lagi tidak kritikal.

Terdahulu, sebanyak 65 mangsa kemalangan berhampiran Stesen LRT KLCC itu dibawa ke HKL.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Dang Wangi Asisten Komisioner Mohamad Zainal Abdullah berkata, kesemua mangsa terlibat terdiri 36 wanita dan 29 lelaki.

“Sebanyak 36 mangsa berbangsa Melayu diikuti Cina (14 orang), India (lima orang), lain-lain bangsa (empat orang) dan warga asing (enam orang),” katanya.

Dalam insiden malam tadi, seramai 47 penumpang parah manakala 166 cedera ringan apabila dua tren LRT bertembung dalam kemalangan berhampiran Stesen KLCC.

Siasatan awal mendapati, tren tersebut bertembung dengan sebuah tren rosak yang sedang dipandu uji secara kawalan manual tanpa diselaras dengan pusat kawalan.

Kejadian jam 9.15 malam itu melibatkan tren bernombor 40 dan 81. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here