Insiden LRT: Dakwa pihak lakukan kecuaian – Anthony Loke

0
1
PUTRAJAYA 20 OGOS 2018. Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook ketika sidang media di Kementerian Pengangkutan, Putrajaya. NSTP/AHMAD IRHAM MOHD NOOR

POLIS Diraja Malaysia (PDRM) digesa supaya menjalankan siasatan secara menyeluruh berhubung insiden kemalangan membabitkan dua tren Transit Aliran Ringan (LRT) Laluan Kelana Jaya yang mengakibatkan ratusan penumpang cedera.

Bekas Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook, berkata memandangkan insiden itu menyebabkan kecederaan orang awam, polis perlu membuat siasatan secara mendalam dan sekiranya ia melibatkan kecuaian manusia, tindakan pendakwaan mengikut Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 mesti diambil segera.

Menurutnya, selain siasatan polis, pasukan khas siasatan yang ditubuhkan oleh Kementerian Pengangkutan juga mesti terdiri daripada pakar-pakar bebas dalam bidang tren dan diberikan kebebasan sepenuhnya untuk menyiasat semua aspek dalam kemalangan tersebut.

“Kemalangan yang melibatkan dua tren LRT Laluan Kelana Jaya malam tadi adalah satu kemalangan tren yang sangat serius dan yang paling teruk dalam sejarah LRT sejak ia beroperasi pada tahun 1998 di negara kita.

“Mengikut laporan polis, terdapat 213 penumpang yang cedera termasuk 47 yang cedera parah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, kemalangan itu membabitkan pertembungan dua tren yang bertentangan dan seperti diketahui umum, tren LRT dipandu secara automatik tanpa pemandu.

“Salah satu tren yang terlibat dikatakan mengalami kerosakan dan dipandu secara manual serta berada dalam landasan yang tidak sepatutnya.

“Laporan daripada pasukan khas bebas mesti diumumkan secara telus kepada pihak orang ramai dan tindakan susulan untuk memperbaiki segala kelemahan mesti diambil serta merta untuk mengembalikan keyakinan orang ramai terhadap aspek keselamatan dalam sistem pengangkutan awam negara,” katanya.

Sementara itu, beliau turut merakamkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada seluruh pasukan penyelamat yang terdiri daripada pihak bomba, polis dan para petugas kecemasan dari hospital berdekatan yang berjaya menyelamatkan semua mangsa dari tren berkenaan. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here