LAPAN ahli keluarga Exco Perak, Datuk Zainol Fadzi Paharudin disahkan positif Covid-19, termasuk isterinya.
Bagaimanapun Exco Pembangunan Luar Bandar, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Perak itu disahkan negatif hasil ujian Polymerase Chain Reaction (PCR) yang dijalankan minggu lalu.
Menurut Zainol Fadzi, selain isterinya yang berumur 52 tahun, lima anak perempuannya berusia 22 hingga 29 tahun, menantu lelaki berusia 29 tahun dan cucu perempuan berusia 3 tahun, turut positif.
Beliau menjelaskan, semua ahli keluarganya tidak menunjukkan gejala serius dan kini menjalani kuarantin di kediamannya di Kampung Attaduri, Langkap di Teluk Intan sehingga 30 Mei ini.
“Mereka kuarantin di rumah dengan pemantauan Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Teluk Intan kerana tidak menunjukkan simptom yang serius.
“Kecuali anak sulung yang mengalami demam dan dimasukkan ke Hospital Teluk Intan pada 19 Mei lalu. Dia kini stabil dan dibenarkan keluar wad pada Ahad lalu,” katanya dipetik Astro Awani, hari ini.
Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sungai Manik itu, beliau tetap menjalani proses kuarantin atas arahan Kementerian Kesihatan (KKM) sebagai langkah berjaga-jaga.
“Saya sudah selesai menerima suntikan dos kedua vaksin Covid-19, tetapi tetap ambil keputusan untuk kuarantin di rumah berasingan sehingga 30 Mei nanti,” ujarnya. – Malaysiapost

