BEKAS pertahanan Harimau Malaya, Nazirul Naim Che Hashim memberi bayangan bakal meninggalkan Perak FC.
Jika menjadi kenyataan, bek kiri itu akan muncul pemain keenam Perak FC yang berhijrah ke pasukan lain ketika jendela perpindahan pertengahan musim akan ditutup hujung bulan ini.
Menerusi ciapan di Twitter miliknya, Nazirul memaklumkan bukan mudah untuk dia membuat keputusan namun ia perlu demi kerjaya dan keluarga.
“Sentiasa ada pro dan kontra. Bila anda membuat keputusan ambil ia sebagai cabaran.
“Terima kasih di atas segala kenangan, Maafkan saya,” ujarnya.
Nazirul yang memulakan kariernya bersama Sekolah Sukan Bukit Jalil (2007-2009) serta Harimau Muda B (2010-2011) dan Harimau Muda A (2011-2013) begitu setia dengan pasukan negeri kelahirannya.
Bagaimanapun Nazirul tidak menyatakan pasukan mana bakal disertainya, namun khabar angin bertiup kencang Selangor FC akan menjadi destinasi barunya nanti. – Malaysiapost

