BEBERAPA minggu kebelakangan ini, ramai sahabat telah kembali ke rahmatullah kerana komplikasi Covid-19, kata Naib Presiden Umno, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.
Beliau meluahkan, berasa amat terkesan kerana tidak dapat menziarahi mereka di kala sakit apa lagi bila meninggal dunia.
“Sukar dibayangkan betapa dalam nestapa keluarga mereka, kita hanya mampu menitip doa dari kejauhan.
“Dari sehari ke sehari, semakin meningkat jumlah yang terkorban dan terjangkit. Wabak ini nampaknya semakin menggila.
“Kepada seluruh sahabat handai, rakan taulan serta seluruh rakyat Malaysia, di bahu kita sekarang terbeban tanggungjawab memerangi virus durjana ini,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya.
Mohamed Khaled berkata kerajaan telah sedaya upaya melakukan yang termampu dalam segala kelebihan dan kekurangan yang ada.
Sekarang katanya, rakyat mesti melakukan ikhtiar, dalam kudrat dan kemampuan sendiri untuk mengelak diri dari terjangkit dan akhirnya menjangkiti orang lain.
“Masanya telah tiba untuk kita sebagai msayarakat, mengemblengkan iltizam untuk menyelamatkan tanah air ini dari terus dikalahkan oleh virus jahat ini.
“Ikutlah nasihat KKM. Laksanakan PKP kendiri dan lakukannya dengan bersungguh-sunggguh,” katanya.
Beliau turut meminta semua rakyat mendaftar dan hadir untuk vaksinasi, selain mesti yakin dengan sains dan percaya kepada data penyelidikan.
“Dan akhirnya bertawakallah kita kepada Yang Maha Pencipta, Allah SWT, Tuhan Yang Maha Mengetahui lagi Maha Berkuasa.
“Tanah air ini dan segala penduduknya sedang dalam kegetiran yang sangat luar biasa. Kita mesti menyelamatkan Malaysia dari terus terbeban dengan malapetaka yang lebih buruk,” katanya. – Malaysiapost
Foto Kredit: Umno Online

