Tempoh kuarantin wajib pengembara ke Malaysia diperketat

0
1

SIDANG Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) hari ini bersetuju memperketatkan prosedur operasi standard (SOP) Pelanjutan Tempoh Kuarantin Wajib ke atas pengembara yang tiba di Malaysia, berkuat kuasa serta-merta. 

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata semua pengembara perlu menjalani ujian pengesanan RT-PCR Covid-19 tiga hari sebelum berlepas dan hanya keputusan ujian negatif boleh menaiki penerbangan ke Malaysia. 

Katanya, semua pengembara juga perlu menjalani ujian pengesanan RT-PCR Covid-19 semasa ketibaan di pintu masuk 

antarabangsa di negara ini. 

“Tempoh kuarantin wajib ke atas pengembara warga Malaysia dan bukan warganegara yang diberi kebenaran masuk ke Malaysia dari Sri Lanka, Bangladesh, Nepal dan Pakistan dilanjutkan daripada 14 kepada 21 hari di stesen kuarantin yang ditetapkan kerajaan. 

“Pelaksanaan arahan kuarantin wajib selama tempoh 21 hari ke atas pengembara warga Malaysia dan bukan warganegara yang diberi kebenaran masuk ke Malaysia yang tiba dari India adalah dikekalkan,” katanya menerusi kenyataan hari ini. 

Ismail Sabri berkata tempoh kuarantin wajib dari semua negara lain dilanjutkan daripada 10 hari kepada 14 hari di stesen kuarantin yang ditetapkan kerajaan. 

“Namun begitu, tempoh kuarantin 14 hari ini akan dilanjutkan selama tujuh hari lagi (menjadikan jumlah kuarantin 21 hari) sekiranya terdapat keperluan berdasarkan hasil penilaian risiko yang dijalankan pada hari ke-14. 

“Kuarantin tambahan ini akan dilaksanakan di stesen kuarantin sama,” katanya. 

Beliau berkata ujian ulangan RT-PCR Covid-19 akan dilakukan pada hari ke-10 dan sekiranya dilanjutkan tempoh kuarantin sehingga 21 hari, ujian ulangan dibuat pada hari ke-18. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here