DATUK Seri Najib Razak hari ini memaklumkan kepada pengikut laman sosialnya bahawa beliau kurang sihat.
“Maaf kawan-kawan, saya kurang sihat dua tiga hari ini.
“Kurang buat posting panjang-panjang dlm tempoh ini sebab ingin kurangkan penggunaan komputer. But I’ll be back,” tulis bekas Perdana Menteri itu menerusi Facebooknya.
Terdahulu hari ini, perbicaraan kes dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) membabitkan Najib di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, ditangguhkan kerana bekas Perdana Menteri itu cuti sakit selepas menjalani pembedahan mata, Khamis lalu.
Peguam utama Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah memaklumkan perkara itu ketika prosiding bermula pada jam 10.20 pagi di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah.
Hakim kemudian membenarkan Najib diberi cuti sehari dan mengarahkan mahkamah bersidang pada jam 9.30 pagi esok.
Muhammad Shafee bagaimanapun berkata Najib mempunyai ketidakupayaan sementara dan tidak mempunyai penglihatan jelas, malah tidak dapat menandatangani cek.
Mendengar penjelasan tersebut, hakim memaklumkan bahawa Najib boleh hanya duduk di mahkamah pada Selasa. – Malaysiapost

