Henti bertelagah, sekarang masanya kita fokus lawan Covid-19 – Ismail Sabri

0
1

SEKARANG masanya untuk kita berhenti bertelagah dan fokus kepada perjuangan melawan pandemik Covid-19, kata Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Menteri Kanan (Keselamatan) itu berkata beliau yakin negara akan menang dalam perjuangan melawan pandemik Covid-19 kerana kita pernah berjaya melakukannya.

“Semua frontliners termasuk petugas
keselamatan telah mengorbankan sepenuh masa mereka demi menjaga kesihatan dan kesejahteraan rakyat.

“Justeru, marilah kita terus meringankan tugas frontliners dengan memberi kerjasama terhadap pematuhan prosedur operasi standard (SOP) dan meningkatkan kawalan kendiri,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Ismail Sabri berkata dalam menghadapi fenomena penularan baharu pandemik Covid-19 yang kian membimbangkan, kerajaan serius melaksanakan amanah dan terus memberi tumpuan meningkatkan kawalan keselamatan melibatkan semua aspek.

Ini kerana katanya, keselamatan adalah
perkara utama yang tidak boleh dikompromi walau apa juga keadaan.

Peningkatan kawalan keselamatan itu jelasnya, termasuklah penguatkuasaan di sempadan negara bagi mengelak
kemasukan pendatang asing tanpa izin (PATI).

Dengan menguatkuasakan PKP di seluruh negara, semua pasukan keselamatan telah memperkemas operasi bersepadu bagi memperketat kawalan sempadan daripada dicerobohi oleh anasir-anasir asing.

“Sememangnya kawalan sempadan akan menjadi antara fokus kerajaan melalui transformasi pengurusan dan tadbir urus
termasuk menggunakan peralatan berteknologi tinggi dan berbeza mengikut kesesuaian bentuk muka bumi di sempadan.

“Ini termasuk penambahan pos kawalan, pagar sempadan, CCTV, radar dan dron yang berkapasiti tinggi,” katanya.

Beliau berkata ketika ini semua pasukan
keselamatan daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia (APMM), Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (AKSEM) dan RELA giat melakukan rondaan dan kawalan di seluruh negara dengan tujuan utama adalah keselamatan dan kesihatan rakyat terjamin.

Tambahnya, langkah proaktif dibuat berasaskan fakta dan maklumat
terkini, malah sejak 18 Mei lalu seramai 9,629 anggota keselamatan ditugaskan untuk rondaan, penguatkuasaan dan sekatan jalan raya di seluruh negara.

Daripada jumlah itu, 5,460 adalah anggota PDRM, selebihnya 4,169 melibatkan ATM, RELA, APM dan lain-lain agensi.

“Sebelum ini, kerajaan juga telah membuat keputusan menyekat kemasukan sementara pengembara dari India, Sri Lanka, Nepal,
Bangladesh dan Pakistan kerana bimbang jangkitan varian baharu dari negara itu akan menular ke negara ini dan tindakan ini dibuat dengan tegas melibatkan semua pihak.

“Kerajaan juga memperketatkan kemasukan rakyat Malaysia daripada negara-negara tersebut di pintu antarabangsa dengan menambah jumlah kuarantin daripada 14
hari kepada 21 hari,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here