MAJLIS Keselamatan Negara (MKN) mengarahkan tujuh lokaliti di Pahang dan Sabah menjalani Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD), bermula 26 Mei hingga 8 Jun ini.
Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, Kementerian Kesihatan (KKM) merekodkan kes positif Covid-19 di tiga mukim dalam Daerah Lipis, iaitu Kuala Lipis (24), Penjom (57) dan Budu (51) menjadikan keseluruhan kes ketiga-tiganya adalah 132 dalam tempoh 24 hari, bermula 1 Mei lalu.
Menurutnya, kerajaan juga bersetuju melaksana PKPD di dua lokaliti di Putatan, Sabah iaitu Taman Seri Ketiau dan Taman Desa Seri Ketiau kerana terdapat peningkatan ketara kes dalam tempoh seminggu apabila 21 kes direkodkan hasil 282 ujian saringan yang dilaksanakan.
Selain itu, katanya PKPD dilaksanakan di Ladang FELDA Global Ventures (FGV) Kalabakan Selatan, Kalabakan dan Kampung Sungai Imam, Tawau, bermula pada tarikh sama. – Malaysiapost

