KEMENTERIAN Dalam Negeri (KDN) mengarahkan semua jabatan dan agensi penguatkuasaan di bawahnya memperhebat operasi pemantauan, memberi amaran dan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana individu melanggar prosedur operasi standard (SOP) yang diwartakan.
Menerusi satu kenyataan hari ini, KDN memaklumkan ia selari dengan keputusan kerajaan untuk memperketatkan pematuhan SOP dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi membendung penularan Covid-19.
Serentak itu, katanya, agensi di bawah KDN seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Imigresen, Jabatan Penjara, RELA, Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM), Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) dan Agensi Kawalan Sempadan (AKSEM) akan menambah bilangan anggota serta operasi di lapangan.
“Selain sekatan jalan raya (SJR), pemantauan akan dijalankan di seluruh negara termasuk premis perniagaan dan industri, bangunan pejabat dan kawasan kediaman serta terminal dan stesen pengangkutan awam serta perkhidmatan e-hailing.
“Sejak PKP dilaksanakan hingga kini, seramai 100,980 anggota pelbagai Jabatan dan agensi KDN terbabit dalam penugasan Covid-19,” kata KDN hari ini.
KDN juga menyeru semua pihak agar terus mematuhi SOP yang diputuskan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan memberi kerjasama jitu terhadap segala usaha dan langkah-langkah yang diambil kerajaan bagi melindungi nyawa rakyat daripada ancaman pandemik Covid-19. – Malaysiapost

