USAHAWAN dan selebriti sensasi Neelofa menafikan dia dan suami, Haris Ismail menaiki kereta yang sama dengan peguam ketika hadir ke ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seremban, hari ini.

Menerusi satu hantaran di Facebook, Neelofa menjelaskan kekeliruan yang tercetus sebaik sahaja mereka selesai urusan di IPD tersebut.
“Assalamualaikum. Saya ingin menjelaskan tentang gambar peguam saya iaitu Zahiril yang menaiki kenderaan saya bersama Haris serta pemandu selepas selesai berurusan di Balai Polis Seremban, sebentar tadi.
“Kami hanya menumpangkan beliau dari Balai Polis ke mahkamah bersebelahan dengan jarak sekitar 50 meter. Kenderaan peguam saya diletakkan di ruang parkir mahkamah. Saya dan peguam tidak hadir ke IPD Seremban dengan menaiki kenderaan yang sama.
“Kami telah menghubungi IPD Seremban dan mereka sedia maklum tentang perkara itu. Saya, Haris dan pemandu telah pulang ke Kuala Lumpur menaiki kenderaan kami manakala peguam pulang ke kediamannya dengan memandu kenderaannya,” katanya.
Hari ini tular di media sosial, video dan gambar pasangan suami isteri itu menaiki kenderaan melibatkan empat orang, sekali gus melanggar prosedur operasi standard (SOP) yang hanya membenarkan tiga orang berada dalam sebuah kenderaan.
Terdahulu, Neelofa atau nama penuhnya Noor Neelofa Mohd Nor hadir ke IPD Seremban ditemani Haris dan peguamnya pada jam 10.15 pagi.
Difahamkan, Neelofa selesai memberi keterangan pada jam 11.40 pagi berhubung siasatan mengenakan niqab tanpa memakai pelitup muka, minggu lalu.
Mengulas lanjut, Neelofa berkata polis boleh meneliti rakaman CCTV mereka menurunkan peguam di pekarangan mahkamah atau daripada luar balai polis.
“Diharapkan ini dapat menjelaskan perkara yang berlaku selain mengelak salah faham. Sekian terima kasih,” kata Neelofa. – Malaysiapost

