PIHAK berkuasa agama di negeri-negeri perlu memainkan lebih peranan dengan memperbanyakkan program kesedaran kepada masyarakat berhubung kepentingan pengambilan vaksin Covid-19.
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata ia antara perkara ditekankan beliau dalam Mesyuarat Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia (MKI) Ke-68 pagi ini.
Antara lain katanya, ia penting bagi menyokong program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan yang sedang berlangsung.
Mesyuarat yang diadakan secara persidangan video dihadiri ketua-ketua kerajaan negeri serta ahli-ahli lantikan oleh Yang Di-Pertuan Agong.
“Saya tegaskan usaha mempromosikan galakan pengambilan imunisasi ini seharusnya tidak terhad kepada kerajaan Persekutuan dan negeri sahaja.
“Ini memandangkan masih ramai dalam kalangan masyarakat umum tidak mendapat maklumat tepat mengenai keperluan mengambil vaksin,” katanya.
Muhyiddin berharap masyarakat mendapat penjelasan sejelas-jelasnya bahawa keputusan kerajaan dalam isu vaksin adalah berpandukan keputusan Mesyuarat Khas Jawatankuasa Muzakarah MKI Kali Ke-10 pada 3 Disember 2020.
Ia bahawa hukum mengenai penggunaan vaksin Covid-19 adalah harus dan wajib diambil oleh golongan yang ditetapkan oleh pihak berkuasa.
Katanya, keputusan Mesyuarat Khas Jawatankuasa Muzakarah MKI itu juga telah disembah maklum dan mendapat perkenan dari Majlis Raja-Raja pada 4 Januari 2021.
“Dalam hal ini, saya berharap pihak berkuasa agama menggunakan semua platform yang ada menguar-uarkan berkenaan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan.
“Selain pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang telah dikeluarkan bagi memastikan kadar peningkatan kes harian pandemik ini menjadi semakin tidak terkawal sebagaimana di beberapa negara lain,” katanya. – Malaysiapost

