Guna MySejahtera pantau had masa 2 jam pelanggan

0
1

APLIKASI MySejahtera akan digunakan untuk memantau had masa maksimum dua jam pelanggan dibenarkan berada di semua premis peruncitan termasuk pusat beli-belah.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, rekod itu akan diperoleh sebaik sahaja pelanggan membuat imbasan ketika memasuki premis.

“Pemantauan kita boleh buat secara rawak dahulu. Kita lihat yang penting adalah kita memohon kerjasama daripada pemilik premis itu.

“Secara kendiri mereka perlu buat yang terbaik bagaimana hendak memantau pelanggan atau pembeli yang masuk ke premis mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media Pengumuman Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Pesta Kaamatan dan Hari Gawai 2021 secara maya, hari ini.

Alexander menjelaskan, pemilik premis disaran untuk sentiasa membuat siar raya bagi mengingatkan pelanggan mematuhi had masa dua jam ditetapkan.

Jelasnya, anggota Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDHEP) juga akan membuat pemantauan secara rawak di premis tumpuan ramai.

“Selain itu, kita juga nasihatkan pelanggan untuk buat kawalan kendiri dan patuhi had masa yang ditetapkan,” katanya.

Terdahulu, Persatuan Pengurusan Kompleks Malaysia (PPKM) menjelaskan pihak pengurusan pusat beli-belah tidak berupaya untuk mengawal dan memantau masa maksimum dua jam pelanggan dalam premis berkenaan.

PPKM berkata, ia seperti mana ketetapan yang dibuat mengikut prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 yang diputuskan kerajaan.

Persatuan itu berkata, perkara berkenaan disifatkan sebagai mustahil dan tidak praktikal dilaksanakan, serta menyifatkan kaedah terbaik adalah dengan mengingatkan pelanggan mengenai had masa itu termasuk meletakkan papan tanda di pintu masuk selain membuat pengumuman dari semasa ke semasa. – Malaysiapost

Artikel berkaitan:
https://malaysiapost.com.my/2021/05/24/pantau-had-masa-pelanggan-beli-belah-mustahil-tak-praktikal/

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here