PENGENDALI Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe mengakui tidak berpuas hati dengan persembahan barisan pemainnya yang tewas 1-4 dalam aksi pemanas badan tertutup menentang Kuwait di Dubai, malam tadi.
Dalam aksi tersebut, Cheng Hoe menurunkan hampir kesemua 25 pemain yang dibawa ke Dubai termasuk membuat pertukaran besar-besaran pada babak kedua.
Menurut Cheng Hoe, walaupun ia sekadar aksi pemanas badan, kekalahan itu sedikit sebanyak boleh menjejaskan moral pasukan.
“Saya rasa pemain pun rasa kecewa atas keputusan tersebut, tapi yang penting perlawanan lawan Bahrain selepas ini kita akan perbaiki segala kelemahan.
“Ia bakal menjadi perlawanan ujian terakhir dan kita harap barisan kesebelasan akan dimuktamadkan.
“Kami barisan jurulatih akan analisa apa kelemahan pasukan dan yang penting kita nak tengok pemain bangkit daripada kekalahan dan bermain sebagai satu pasukan,” katanya menerusi video yang dimuatnaik di YouTube FAM TV.
Dalam perlawanan menentang Kuwait, gol tunggal Malaysia dijaringkan penyerang naturalisasi, Guilherme de Paula.
Skuad kebangsaan kini dalam persiapan tiga perlawanan terakhir Kumpulan G, Pusingan 2 Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di Dubai iaitu bertemu UAE (3 Jun), Vietnam (11 Jun) dan Thailand (15 Jun 2021).
Sementara itu, Cheng Hoe berkata selepas memberi peluang kepada semua pemain menampilkan aksi masing-masing semalam, beliau dapat melihat jurang besar ditunjukkan pada skuad yang bermain pada babak pertama dan kedua.
“Memang nampak jurang yang agak besar pada separuh masa pertama dan kedua… di situ kami boleh tahu secara gambaran pemain yang kita rasa boleh menggalas kesebelasan utama,” katanya. – Malaysiapost

