Bersatu Johor gesa gencatan politik, fokus perang terhadap Covid-19

0
1

BERSATU Johor menggesa semua parti politik di negeri itu melakukan gencatan politik bagi memberi fokus besar-besaran memerangi Covid-19.  

Pengarah Pilihanraya Bersatu Johor, Datuk Dr Abd Latiff Ahmad berkata, parti itu mengajak semua melupakan perbezaan politik dan perebutan kuasa. 

Sebaliknya bersama-sama menjunjung titah Sultan Johor Sultan Ibrahim Iskandar untuk menyelamatkan nyawa rakyat negeri itu dari dijangkiti Covid-19.  

“Politik dan beza parti wajib ditinggalkan kerana perang berdepan Covid-19 ini sangat kritikal dan ia bukan sahaja melibatkan nyawa tetapi masa depan negara ini. 

“Arahan telah pun dikeluarkan pada hari yang sama DYMM Tuanku Sultan bertitah,” katanya menerusi kenyataan hari ini. 

Sehubungan itu, Dr Abd Latiff berkata, Bersatu akan menggerakkan jentera parti di seluruh negeri dalam usaha memerangi pandemik terutama memastikan lebih ramai rakyat negeri itu menerima suntikan vaksin.  

“Pendaftaran vaksinasi di Johor melalui aplikasi MySejahtera didapati masih lagi rendah, iaitu sekitar 1.24 juta orang berbanding 2.9 juta orang yang layak.  

“Malah, jumlah rakyat Johor yang telah menerima vaksinasi hanya pada kadar 4.38 peratus.   

“Oleh itu semua bilik gerakan dan pejabat Bersatu sama ada di peringkat negeri, bahagian mahupun cawangan telah diarah untuk dijadikan pusat bagi membantu pendaftaran vaksin,” katanya. 

Justeru, menurut Dr Abd Latiff, satu kempen segera 500,000 bahan kempen dalam bentuk kain rentang, bunting, poster dan risalah bagi kesedaran rakyat berkenaan SOP elak jangkitan dan vaksinisasi sedang dicetak dan segera akan diedarkan di seluruh Johor.  

“Sebanyak lima unit siaraya iaitu kenderaan dilengkapkan dengan PA sistem akan digerak ke seluruh pelusuk negeri untuk tujuan membuat pengumuman berkaitan bagi meningkatkan kesedaran rakyat dalam perang Covid-19.   

“Selain itu, talian ‘hotline’ (013-580 0016) diperkenalkan untuk membantu mana-mana individu khususnya warga emas yang telah mendapat temujanji untuk vaksinisasi tetapi mempunyai masalah pengangkutan untuk ke pusat vaksinisasi.  

“Mereka bolehlah hubungi nombor ini melalui SMS atau WhatsApp. Kami akan membantu menyediakan kenderaan secara percuma untuk membawa mereka berdasarkan temujanji,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here