BDR mulai esok, jangan letak persepsi buruk kepada penjawat awam

0
1

CUEPACS berharap masyarakat tidak meletak persepsi buruk kepada penjawat awam susulan pelaksanaan amalan bekerja dari rumah (BDR) ditetapkan kerajaan melalui prosedur operasi standard (SOP) baharu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0.

Ini kerana arahan itu adalah berdasarkan Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 5 Tahun 2020 – Dasar Bekerja Dari Rumah yang secara jelas memperincikan aspek-aspek perlu dipatuhi setiap penjawat awam.

Presiden CUEPACS, Adnan Mat berkata setelah lebih setahun negara melaksanakan PKP, pihaknya yakin penjawat awam tiada masalah melaksanakan tanggungjawab masing-masing melalui amalan BDR yang telah ditambahbaik dari semasa ke semasa.

Jelasnya, BDR telah menjadi amalan ketika PKP sebelum ini dan CUEPACS yakin ia boleh diadaptasi dengan sebaik mungkin.

Walaupun apa jua keadaan, katanya penjawat awam adalah tulang belakang dalam pentadbiran negara dan sudah pasti wajib menunjukkan contoh terbaik dalam mematuhi dasar-dasar yang diarah kerajaan dapat dilaksanakan sebaik mungkin.

“Dalam masa sama CUEPACS berharap penjawat awam mematuhi arahan PKP dan peraturan semasa berkaitan BDR.

“Sebarang pelanggaran salah laku dalam pematuhan kepada BDR akan dikenakan tindakan tatatertib mengikut peraturan semasa perkhidmatan awam.

Penjawat awam tidak boleh berkompromi mengenai produktiviti masing-masing semasa BDR kerana kita adalah tulang belakang kepada pentadbiran negara,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Mulai esok, sebanyak 80 peratus penjawat awam dan 40 peratus kakitangan sektor swasta akan memulakan pelaksanaan atau amalan BDR seperti ditetapkan kerajaan.

Arahan tersebut merupakan salah satu usaha kerajaan untuk mengurangkan pergerakan dan aktiviti rakyat di luar rumah sekali gus mengekang penularan Covid-19.

Mengulas lanjut, Adnan berkata walaupun pelaksanaan tugasan secara BDR itu melibatkan kira-kira 750,000 penjawat awam di seluruh negara, CUEPACS memberi jaminan mereka akan terus mengekalkan produktiviti kerja pada tahap terbaik terutama melibatkan perkhidmatan langsung kepada rakyat dan negara.

Katanya, sistem penyampaian perkhidmatan kerajaan akan terus berjalan seperti biasa bagi memastikan perkhidmatan kepada rakyat dapat diberi mengikut ketetapan yang telah ditetapkan setiap agensi kerajaan.

“Perkhidmatan penting kepada rakyat akan terus beroperasi seperti biasa mengikut SOP semasa ditetapkan kerajaan.

“Justeru rakyat tidak perlu bimbang urusan mereka akan tergendala berikutan arahan terbaru oleh kerajaan ketika ini kerana setiap jabatan tidak pernah berhenti berfungsi atau lumpuh dalam menjalankan perkhidmatan masing-masing,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here