KASINO Genting Highlands akan mula menutup operasi pada tengah malam ini susulan pelaksanaan prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 yang lebih ketat.
Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Abd Jalil Hassan, berkata kasino berkenaan memang masih dibenarkan beroperasi sehingga hari ini kerana SOP PKP 3.0 lebih ketat hanya bermula tengah malam ini seperti dimaklumkan kerajaan sebelum ini.
“Kasino berkenaan akan menutup operasi tepat jam 12 tengah malam ini.
“Untuk makluman pasukan pematuhan SOP daripada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bentong akan mula memantau penutupan itu bermula 12.01 tengah malam ini,” katanya ketika dihubungi Malaysiapost hari ini.
Beliau berkata demikian menjawab mengenai isu pusat perjudian terbabit yang dilaporkan masih beroperasi walaupun terdapat dakwaan berlaku kes jangkitan Covid-19 di kawasan pusat peranginan itu.
Menurutnya, pihaknya juga tidak boleh mengenakan kompaun terhadap kasino terbabit kerana ia memang dibenarkan beroperasi hingga hari ini.
Sementara itu, Abdul Jalil berkata beberapa premis lain di kawasan peranginan terbabit memang sudah ditutup sejak minggu lalu susulan terdapat laporan kes Covid-19.
Sebelum ini, media melaporkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) pada 7 Mei lalu, mengesan 16 daripada 28 pelancong dari Alor Setar, Kedah yang mengunjungi Genting Highlands positif Covid-19.
Bagaimanapun tidak dapat dipastikan sama ada kumpulan pelancong terbabit mengunjungi kasino atau tidak.
Pada Jumaat lalu kerajaan mengumumkan SOP lebih ketat bagi sektor ekonomi ketika tempoh PKP 3.0.
Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, yang mengumumkan perkara itu berkata, SOP berkenaan akan berkuatkuasa bermula esok.
Ismail Sabri semalam turut menjelaskan penutupan kasino tersebut perlu dirujuk kepada Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya.
Difahamkan, aktiviti pusat perjudian berlesen termasuk kasino terletak di bawah bidang kuasa Kementerian Kewangan. – Malaysiapost

