PKP menyeluruh utamakan keselamatan, nyawa rakyat – Wirawati Putra

0
1

WIRAWATI Putra Malaysia menggesa kerajaan untuk mengutamakan nyawa dan keselamatan rakyat dengan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) menyeluruh.

Naib Ketuanya, Nurhafizah Jamalludin berkata pelaksanaan PKP 3.0 ketika ini dilihat tidak menunjukkan usaha dan komitmen sepenuhnya kerajaan dalam mengurangkan angka kes Covid-19 yang meningkat saban hari.

Malah, katanya, ia dilihat seperti kerajaan masih belum serius mahu menyelamatkan nyawa rakyat.

“Wirawati Putra mencadangkan agar dilaksanakan PKP secara menyeluruh (total lockdown) seperti PKP 1.0 di mana semua sektor dikawal atau ditutup sementara iaitu melibatkan sektor yang tidak berkaitan ekonomi asas.

“Perkhidmatan awam dan swasta kembali bekerja dari rumah kecuali barisan hadapan manakala perkhidmatan kenderaaan awam dihadkan dan lain-lain,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Nurhafizah berkata, walaupun PKP penuh bukanlah pilihan kegemaran semua, namun kerajaan perlu bertegas seketika demi kemaslahatan dan kesejahteraan jangka panjang negara.

“Malaysia mempunyai rekod kejayaan mengurus penularan Covid-19 pada tahun lalu dan ia boleh dijadikan model serta ditambah baik seperti memberi bantuan sokongan kepada peniaga kecil, penganggur, keluarga B40 dan kumpulan bawah M40 bagi memastikan mereka punya pendapatan yang sesuai demi kelangsungan hidup dalam tempoh waktu tersebut.

“Wirawati Putra yakin kerajaan mampu memberi bantuan khas dalam tempoh PKP kali ini dan dalam masa sama ia membuka ruang pendapatan sampingan kepada perkhidmatan rider dan kurier terutama mereka yang hilang punca pendapatan senjak PKP awal tahun lalu,” katanya.

Justeru, Nurhafizah berkata, Wirawati Putra mencadangkan agar kerajaan perhebat aplikasi jualan atas talian atau menggalakkan peniaga, penjaja, kenderaan bersaji atau kiosk-kiosk untuk berniaga di media sosial tanpa sebarang caj atau syarat agar dapat menjamin pulangan pendapatan rakyat dalam tempoh tersebut.

“Kerajaan mempunyai kuasa penuh darurat dan kuasa penuh untuk menggunakan wang negara. Pulihkan rakyat dahulu kerana rakyat yang akan merancakkan ekonomi negara,” katanya. – Malaysiapot

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here