SEMUA premis sama ada kilang, pusat beli-belah dan sebagainya akan ditutup serta-merta jika didapati berisiko tinggi jangkitan Covid-19 atau melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Sehubungan itu, Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata tidak timbul isu ‘kawtim’ hingga membolehkan premis berkenaan beroperasi walaupun berisiko tinggi.
Menurutnya, setakat ini banyak premis yang diarah tutup susulan berisiko tinggi jangkitan Covid-19 atau dikesan melanggar SOP.
“Lebih 70 kilang setakat ini sudah ditutup kerana melanggar SOP atau wujudnya kes positif Covid-19 di kilang berkenaan.
“Kerajaan juga mempunyai sistem amaran awal ‘Hotspots Identification for Dynamic Engagement’ (HIDE) yang akan mengenalpasti kawasan atau premis dianggap berisiko,” katanya dalam sidang media selepas melawat kilang Pharmaniaga LifeScience Sdn Bhd hari ini.
Beliau menjawab soalan wartawan mengenai terdapat dakwaan wujud budaya ‘kawtim’ hingga kilang yang didapati melanggar SOP tidak ditutup.
Menurutnya, berdadarkan sistem HIDE, mana-mana premis didapati berisiko dan mempunyai jangkitan Covid-19, kerajaan melalui Kementerian Kesihatan (KKM) akan membuat penilaian sewajarnya untuk tindakan lanjut.
“Kalau kilang… kilanglah kalau pusat beli-belah… pusat beli belahlah dan selepas penilaian risiko dan jika KKM memutuskan ia berisiko tinggi maka kita akan tutup serta-merta tidak kira mana-mana tempat.
“Kerajaan akan mengambil tindakan, kalau yang melanggar SOP juga kita akan tutup kilang-kilang yang dimaksudkan. Jadi tidak timbul soal isu ‘kawtim’,” katanya. – Malaysiapost

