Peguam pertikai layanan istimewa kepada Neelofa, suami

0
1

BARISAN peguam Negeri Sembilan mempertikaikan layanan istimewa pihak Mahkamah Seremban terhadap usahawan dan selebriti popular, Noor Neelofa Mohd Nor dan suami, Mohammad Haris Mohd Ismail.

Sehubungan, itu mereka membuat aduan kepada Pengerusi Jawatankuasa Peguam-Peguam Negeri Sembilan mengapa pasangan itu diberikan layanan istimewa ketika hadir Kompleks Mahkamah Seremban, Khamis lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Peguam-Peguam Negeri Sembilan, Azmi Abdoll Aziz, berkata pihaknya menerima aduan berkenaan pada petang Khamis lalu iaitu hari sama kes Neelofa dan suami dihadapkan ke Mahkamah Majisret Seremban.

“Mereka (peguam) mempersoalkan mengenai layanan istimewa apabila kenderaan pasangan itu yang dilihat dibenarkan memasuki ke dalam kawasan kompleks mahkamah, sementara individu yang lain pula perlu meletakkan kereta di kawasan parkir di bahagian luar mahkamah.

“Aduan sudah dimajukan kepada Pengarah Mahkamah Negeri Sembilan, Madihah Harullah pada petang Jumaat lalu. Kita berharap pihak mahkamah akan beri maklum balas dalam masa terdekat,” katanya dipetik Berita Harian, hari ini.

Khamis lalu, kenderaaan BMW dinaiki Neelofa, 32, dan Mohammad Haris, 26, dibenarkan memasuki dalam kawasan kompleks mahkamah dan parkir di premis disediakan.

Ia menjadi pertikaian kerana difahamkan tempat parkir berkenaan hanya untuk kenderaan kakitangan, peguam, polis, pendakwa raya dan pengecualian hanya kepada orang awam (orang kurang upaya).

Lebih mengecewakan, mereka turut mendakwa ada sesetengah peguam pernah dimarahi oleh pengawal keselamatan apabila mereka meminta untuk membawa masuk kenderaan ke dalam pekarangan mahkamah dan mereka patuh bagi menghormati integriti institusi terbabit.

Khamis lalu, Neelofa dan suami dituduh di Mahkamah Majistret Seremban atas kesalahan gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) apabila tidak membuat imbasan aplikasi MySejahtera untuk masuk ke premis atau menulis secara manual pada buku disediakan ketika hadir di kedai karpet di Nilai 3, Nilai pada 2 Mei lalu.

Muhammad Haris didakwa atas dua pertuduhan iaitu gagal membuat imbasan aplikasi MySejahtera dan tidak memakai pelitup muka di tempat awam, manakala Neelofa pula satu tuduhan tidak mengimbas MySejahtera di premis berkenaan.

Pasangan itu mengaku tidak bersalah dan diikat jamin sebanyak RM15,000 dengan sebut semula kes pada 4 Jun ini. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here