Kadar penggunaan katil di Lembah Klang cecah 113 peratus

0
1

KADAR penggunaan katil di Unit Rawatan Rapi (ICU) Covid-19 secara keseluruhan di seluruh negara telah mencapai 91 peratus dengan Lembah Klang, mencecah 113 peratus.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata bagi menampung peningkatan itu, hospital terpaksa menukar fungsi lain-lain kawasan di dalam hospital seperti wad biasa untuk dijadikan ICU sementara dengan melengkapkan katil-katil dengan peralatan perubatan tertentu.

“Bagaimanapun, ini juga mengurangkan peluang pesakit bukan Covid-19 untuk mendapatkan rawatan kritikal yang diperlukan.

“Di Hospital Sungai Buloh misalnya, sebahagian Jabatan Kecemasan telah ditukar menjadi tempat rawatan kritikal / ICU,” katanya dalam satu hantaran di Facebook hari ini.

Wad biasa dijadikan ICU sementara dengan melengkapkan katil-katil dengan peralatan perubatan tertentu.

Beliau berkata, sistem kesihatan negara kini menghadapi tekanan yang amat besar dan memerlukan bantuan masyarakat untuk memutuskan rantaian jangkitan Covid-19.

“Lakukanlah kawalan pergerakan kendiri dengan kekal duduk di rumah. Sekiranya terdapat urusan penting di luar, pastikan patuh prosedur operasi standard (SOP).

“Majikan diseru untuk memberi kebenaran kepada pekerja untuk bekerja dari rumah (BDR) dan menghadkan bilangan pekerja yang hadir ke pejabat pada satu-satu masa.

“Jangan tunggu lagi. Kita jaga kita,” tegasnya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here