KEJADIAN kereta meletup hingga terputus dua menyebabkan pemandunya maut, dipercayai berlaku setelah mangsa merokok dalam kenderaan yang sarat membawa muatan mercun bola.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Shafien Mamat bagaimanapun berkata punca sebenar kejadian belum dapat disahkan kerana menunggu siasatan Unit Forensik dan Unit Bom Bukit Aman, lapor Berita Harian.
Katanya, insiden itu berlaku ketika kereta terbabit berhenti di lampu isyarat.
“Ada saksi mendakwa, ketika kejadian mangsa merokok dan membuka sedikit tingkap sebelum letupan berlaku.
“Polis Kelantan memohon bantuan unit berkenaan untuk membuat analisis dan mereka dalam perjalanan hari ini.
“Hasil analisis termasuk punca kejadian dijangka diperoleh tidak lama lagi,” katanya kepada media ketika meninjau Kampung Terusan Limbat, Pasir Tumboh.
Dalam kejadian jam 5.38 petang di Jalan Pintu Geng, Kampung Sireh di Kota Bharu semalam, Wan Hassan Wan Ali, 49, maut di tempat kejadian selepas Proton Iswara dipandunya rentung dan terputus dua.
Letupan menyebabkan empat kenderaan rosak, lima kenderaan turut terbakar dan empat mangsa lain cedera termasuk seorang parah.
Shafien berkata, letupan itu agak kuat kerana mewujudkan kesan dalam radius 100 meter termasuk kenderaan berdekatan, masjid, rumah penduduk dan tadika.
Katanya, nilai kemusnahan belum diketahui memandangkan mangsa lain termasuk penduduk di lokasi terkesan dengan kejadian itu belum membuat laporan polis.
“Kita minta semua mangsa membuat laporan polis untuk memudahkan siasatan termasuk menilai jumlah kerugian,” katanya.
Beliau berkata, pihaknya masih menyiasat sama ada mangsa terlibat dengan aktiviti penyeludupan mercun berikutan mangsa mempunyai dua rekod kesalahan dadah serta pecah rumah sebelum ini. – Malaysiapost

