Tun M patut minta maaf pada Najib

0
1

TUN Dr Mahathir Mohamad sepatutnya meminta maaf kepada Datuk Seri Najib Razak berkaitan RM114 juta yang disita polis di Pavilion Residence, Kuala Lumpur pada 17 Mei 2018.

Ia susulan mahkamah memutuskan bahawa kerajaan gagal menunjukkan wang tersebut datangnya daripada 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Ketua Penerangan Barisan Nasional (BN) Selangor, Isham Jalil berkata semalam Dr Mahathir dilaporkan berkata beliau terima hakikat bahawa duit yang dirampas daripada Najib oleh kerajaan, didapati oleh mahkamah bukannya daripada sumber 1MDB.

Ini berbeza setelah selama beberapa tahun apabila Dr Mahathir berkata Najib adalah penyamun dan kleptokrat yang telah sakau duit 1MDB, namun kelmarin mahkamah membuktikan sebaliknya.

“Tetapi Mahathir tidak puas hati dan dia terus tukar topik dan kini dia tanya kalau duit itu bukan dari 1MDB duit itu dari mana dan dia juga tanya berapa Najib bayar cukai untuk duit sebanyak itu.

“Dr Mahathir sepatutnya minta maaf atas fitnahnya selama ini ke atas Najib, bukannya mencuba cari ruang untuk fitnah Najib lagi dengan persoal itu dan ini pula,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya.

Semalam, Dr Mahathir menerusi satu hantaran video meminta Najib menjelaskan punca RM114 juta disita polis di Pavilion Residence, Kuala Lumpur pada 17 Mei 2018.

Bekas Perdana Menteri itu berkata rakyat berhak tahu bagaimana Najib boleh memiliki wang sebanyak itu.

“Keputusan mahkamah bahawa kerajaan gagal menunjukkan duit sebanyak lebih 100 juta yang terdapat pada Datuk Seri Najib gagal menunjukkan duit ini datangnya daripada 1MDB. Itu saya terima.

“Boleh diragukan bahawa punca duit itu datang daripada pihak-pihak tertentu. Ini perlu ditunjukkan dengan jelas kepada mahkamah. Kalau tidak kita juga ingin tahu duit yang begitu banyak yang diterima,” katanya.

Kelmarin, Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Muhammad Jamil Hussin dalam penghakimannya, berkata mahkamah mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan wang dirampas dari sebuah premis milik Obyu Holdings Sdn Bhd itu diperoleh daripada kesalahan pecah amanah.

Bagaimanapun, status wang berjumlah RM114,164,393.44 tidak diputuskan selepas tiada sebarang perintah dikeluarkan mahkamah sama ada ia akan dikembalikan kepada pemilik atau disimpan kerajaan. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here