12 lelaki berkumpul, solat berjemaah tanpa kebenaran dikompaun

0
1

SERAMAI 12 lelaki termasuk seorang warga Indonesia dikompaun kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP) dengan berkumpul dan menunaikan solat berjemaah di dalam ruang sebuah premis di Nilai, Negeri Sembilan, semalam.

Ketua Polis Daerah Nilai, Superintenden Mohd Fazley Ab Rahman berkata pihaknya melakukan serbuan bersama penguat kuasa Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS) di sebuah premis kira-kira jam 1.30 tengah hari.

“Pemeriksaan lanjut mendapati premis tersebut tiada kebenaran untuk menjalankan aktiviti solat berjemaah.

“Didapati juga mereka melakukan kesalahan berkumpul di dalam premis, tidak memakai pelitup muka serta gagal membuat imbasan aplikasi MySejahtera untuk ‘check in’ di premis atau menulis secara manual,” katanya menerusi kenyataan yang disiarkan di Facebook Polis Daerah Nilai.

Mohd Fazley berkata, semua individu itu dikompaun di bawah Peraturan 17 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2021.

“Jumlah kompaun yang boleh dikenakan sebanyak RM1,500 hingga RM4,000 setiap seorang.

“Polis menasihatkan orang ramai terus kekal mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan serta SOP yang dikeluarkan pihak berkuasa bagi memutuskan rantaian Covid-19,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here