Kerajaan terlalu menjaga hati para kapitalis – Asyraf Wajdi

0
1

PERSEPSI rakyat dalam situasi kes Covid-19 kian meningkat ketika ini adalah kerajaan terlalu ingin menjaga hati para kapitalis yang berorientasi memaksimumkan keuntungan berbanding rakyat marhain.

Ketua Pemuda Umno, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, berkata perkara itu dapat dilihat apabila kilang-kilang milik tauke besar dan syarikat korporat multi nasional (MNC) terus dibenar beroperasi sedangkan sektor kecil sebaliknya.

Menurutnya, keadaan itu menyebabkan ramai rakyat kecewa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) secara menyeluruh atau ‘total lockdown’ tidak dilaksanakan.

“Dengan peningkatan kes Covid-19 yang kian parah, rakyat lebih rela ‘total lockdown’ untuk tempoh 14-21 hari berbanding hadapi situasi PKP berulang kali bagaikan tiada kesudahan.

“Data dan sains juga menunjukkan kilang-kilang milik tauke dan MNC penyumbang terbesar hingga 50 peratus penularan wabak Covid-19, tapi terus dibenar beroperasi sedangkan peniaga kecil, penjaja, pengusaha kantin, pekerja gaji hari berhadapan situasi ‘buka-tutup’ tiada penghujung,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berpendapat, tiada jaminan penularan Covid-19 dapat dikekang sekiranya kilang-kilang tetap beroperasi walau PKP diperketatkan kerana realitinya, pekerja-pekerja kilang bukan tinggal dalam kompaun kilang sebaliknya dalam komuniti.

“Kerajaan di persepsi rakyat hari ini terlalu nak jaga hati tauke-tauke besar dan para kapitalis yang berorientasikan memaksimumkan keuntungan berbanding rakyat marhain.

“Tiada pengumuman sebarang bentuk bantuan khas, i-Sinar 2.0, i-Leatari ataupun lanjutan moratorium di kala rakyat dihimpit kesulitan dan sudahpun mulai terdesak akibat PKP separuh masak dan ‘buka-tutup’ berlanjutan.

“Suasana krisis pandemik yang luar biasa hari ini tak boleh nak penuhi semua perkara dalam satu masa. Utamakan yang perlu diutamakan. Nyawa lebih mustahak daripada ekonomi. Selamat nyawa selamat ekonomi,” katanya.

Asyraf Wajdi berkata, adalah lebih baik mengutamakan tangani Covid-19 sehingga ke tahap sangat minimum daripada berterusan mengenakan perintah PKP ‘separuh masak’ yang lebih menyukarkan usaha memulihkan ekonomi untuk jangka panjang.

“Justeru Pergerakan Pemuda Umno Malaysia sekali lagi meminta kerajaan menilai semula keputusan yang diambil kelmarin untuk tidak mengenakan PKP secara sepenuhnya sebelum keadaan menjadi lebih parah,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here