Perak FC sanggup pakai jersi warna ‘pink’

0
2

PERAK FC sanggup menggunakan jersi warna merah jambu seandainya itu syarat diletakkan usahawan kosmetik terkemuka Datuk Seri Dr Hasmiza Othman yang diuar-uarkan berminat menjadi pemilik baharu kelab berkenaan.

Bagaimanapun menurut Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Perak (PAFA) Datuk Yadzan Mohammad, warna tradisi skuad Bos Gaurus mesti dikekalkan pada jersi untuk perlawanan di gelanggang sendiri.

“Menggunakan warna merah jambu tiada masalah tetapi tidak bolehlah hanya warna itu sahaja dan warna kuning hitam putih diketepikan, tidak bolehlah seperti itu.

“Mereka pilihlah satu warna, kalau jersi di laman lawan mahu warna lain tidak mengapa tetapi warna tradisi itu, kuning dan hitam, tidak pernah kami pinggirkan,” katanya dipetik Astro Arena, hari ini.

Terdahulu dilaporkan usahawan kosmetik yang lebih dikenali sebagai Datuk Seri Vida itu berminat untuk memiliki skuad Perak FC sekaligus menyelamatkan masalah kewangan meruncing yang melanda pasukan itu ketika ini.

“Baru-baru ini saya mendapat tahu tentang Datuk Seri Vida memandangkan ia telah tular di Youtube dan sebagainya tetapi sehingga hari ini masih belum ada sebarang kertas kerja atau surat rasmi daripada DSV bahawa mereka mahu mengadakan perbincangan.

“Sekarang ini, kami juga sedang berbincang dengan beberapa syarikat dan orang perseorangan yang mempunyai kelebihan kewangan dan mahu membantu kami tetapi masih belum ada jawapan konkrit.

“Dalam pakej kami, memang sudah jelas mengenai tangga gaji dan perkara-perkara lain yang perlu difikirkan mereka sehingga hujung musim ini. Untuk musim depan akan ada perbincangan lain,” katanya.

Selain Datuk Seri Vida, PAFA juga sedang berbincang dengan beberapa penaja lain yang berminat sambil berharap langkah itu dapat menyuntik sokongan kewangan yang konsisten sehingga penghujung musim ini.

“Kami mengalu-alukan sesiapa sahaja yang serius (untuk memiliki Perak FC),” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here