KEKEJAMAN rejim Zionis terhadap Palestin tidak akan berakhir kerana Israel tidak akan berubah, malah makin lama semakin buruk dan lebih dahsyat lagi di masa hadapan.
Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menyifatkan perbuatan Israel menyerang Palestin ketika ini adalah perkara biasa.
“Bagi saya ini adalah perkara biasa (kekejaman Israel). Inilah yang dilakukan Israel sepanjang masa yang semakin lama semakin buruk dan kita akan lihat lebih dahsyat lagi di masa hadapan.
“Tetapi masalahnya kita tidak dapat tukar cara Israel ini kerana mereka tidak akan perbetulkan diri mereka untuk kebaikan kita,” katanya dalam program Dialog 3 Penjuru: Di sebalik Senyuman Hamza disiarkan di Astro Awani malam ini.
Beliau menjadi panel dalam program membincangkan isu kekejaman Israel terhadap Palestin itu, yang turut disertai Duta Khas Perdana Menteri ke Timur Tengah, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Felo Pusat Pengajian Islam Universiti Oxford, Datuk Dr Afifi Al-Akiti.
Dr Mahathir berkata, negara Islam ketika ini perlu menumpukan kepada usaha yang boleh dilakukan untuk menghalang Israel daripada bertindak ganas seperti sekarang.
“Maksud saya, negara Islam perlu bersatu dalam perkara ini sahajam tidak apalah kalau nak berkelahi sesama sendiri, tetapi dalam isu Palestin ini kita perlu ada satu pendirian iaitu tolak perbuatan Israel dengan menyatakan secara terbuka.
“Kita (negara Islam) boleh mengambil tindakan tidak menjalankan hubungan baik dengan Israel, jangan ada hubungan perdagangan dengan mereka, jangan benarkan mereka buat penerbangan di ruang udara negara kita, ini semua boleh dilakukan oleh kita.
“Tetapi nak harap Israel atau negara lain ambil tindakan ia adalah angan-angan sahaja kerana mereka tidak akan ubah cara mereka dan melihat kita sebagai negara yang lemah,” katanya.
Menurutnya, Israel menggunakan pelbagai provokasi untuk menawan lebih banyak lagi wilayah Palestin dan akhirnya menguasai seluruh Palestin termasuk Baitulmaqdis.
“Di masa hadapan percayalah mereka akan merobohkan Masjid Al-Aqsa untuk mendirikan kuil mereka,” katanya.
Dr Afifi pula berpendapat negara-negara Islam perlu kuat dalam pelbagai aspek termasuk polisi dalam negara, ketenteraan, hubungan luar negara supaya boleh menyelamatkan kembali Baitulmaqdis.
“Namun, realitinya sekarang, kita tidak boleh campur dari segi ketenteraan sekali pun. Jadi apa yang kita boleh lakukan?
“Saya ingin berkongsi apa yang dilakukan negara Eropah dalam menentang keganasan Israel ketika ini. Sebagai contoh, Ireland dari segi polisi dalaman mereka merangka rang undang-undang pada 2018 untuk boikot, menghentikan pelaburan dan menyekat perdagangan dengan Israel.
“Ini dilakukan di negara Barat, tetapi adakah ini sudah dilakukan di Malaysia atau negara Islam lain,” soalnya.
Menurutnya, polisi kedua dilakukan Ireland adalah bantuan terus kepada Palestin, yang bukan melalui badan bukan kerajaan (NGO), tetapi kerajaan Ireland sendiri yang memberi bantuan bukan sahaja kewangan, tetapi kepakaran bagi pembangunan Palestin.
“Jika kita tidak boleh menentang kezaliman Israel ini melalui kekuatan, maka kita perlu menggunakan lisan. Tetapi apakah kecaman yang dibuat oleh Malaysia, Indonesia dan Brunei baru-baru ini ‘bertaring’ atau tidak.
“Jika itu juga tidak dapat dilakukan akhir sekali adalah melalui doa, Qunud Nazillah dan solat hajat,” katanya.
Beliau menyarankan kerajaan Malaysia memainkan peranan, jika tidak boleh bertindak dari segi ketenteraan atau kewangan sekurang-kurangnya lakukan dari segi diplomatik dengan negara lain termasuk negara bukan Islam supaya bersama menghentikan kekejaman Israel.
Sementara itu, Abdul Hadi pula berpendapat setiap provokasi dilakukan Israel perlu diambil dari sudut positif untuk menyatukan umat Islam dan umat manusia kerana kekejaman serta serangan terhadap Baitulmaqdis juga tidak diterima masyarakat dunia lain.
“Isu pembunuhan Hamza Nasar, 12, kanak-kanak Palestin sangat menyentuh kemanusiaan sejagat.
“Masjid Al-Aqsa dan Baitulmaqdis juga menyentuh isu agama. Ia kiblat pertama umat Islam dan ia adalah tempat suci bagi tiga agama besar iaitu Islam, Kristian dan Yahudi,” katanya. – Malaysiapost

