Mesyuarat MKN esok tidak disertai Menteri Besar, Ketua Menteri

0
1

MESYUARAT Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang dijangka dipengerusikan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin esok tidak akan disertai Menteri Besar atau Ketua Menteri seperti kebiasaan.

Perkembangan itu dimaklumkan oleh Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari menerusi ciapan di laman Twitternya hari ini.

Menurutnya, beliau diminta mengesahkan kehadiran ke mesyuarat itu semalam, namun dimaklumkan hari ini mesyuarat berkenaan tidak membabitkan kehadiran Menteri Besar dan Ketua Menteri.

“Saya telah mengesahkan kehadiran semalam seperti yang diminta, namun petang ini saya dimaklumkan mesyuarat MKN esok tidak akan melibatkan Menteri Besar dan Ketua Menteri seperti sebelum ini,” ciapnya.

Terdahulu Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Datuk Seri Takiyuddin Hassan dilaporkan berkata, kerajaan akan membincangkan cadangan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) penuh atau ‘lockdown’ di seluruh negara pada Mesyuarat MKN Covid-19 di Putrajaya esok.

Menurutnya, mesyuarat itu dijangka dihadiri oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Sementara itu, Amirudin menerusi sidang media semalam juga berkata, kerajaan Selangor bersedia melaksanakan PKP penuh, namun pelaksanaan itu harus dilihat secara holistik dengan mengambil kira beberapa aspek. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here