Hospital swasta diminta tambah katil pesakit Covid-19 – Dr Noor Hisham

0
2

SETIAP hospital swasta yang sedang merawat pesakit Covid-19 diminta meningkatkan lagi kapasiti katil dalam berdepan peningkatan kes pesakit yang mendadak.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata  kes pesakit positif Covid-19 yang memerlukan rawatan di hospital di Malaysia semakin meningkat termasuk penggunaan fasiliti di Unit Rawatan Rapi (ICU).

“Kadar penggunaan katil di ICU di hospital di hospital Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menunjukkan peningkatan dengan kadar penggunaan katil ICU melebihi 70 peratus dan di Wilayah Tengah telah melebihi 100 peratus.

“Kadar penggunaan katil wad di hospital KKM juga meningkat dengan peratusan penggunaan katil melibihi 70 – 90 peratus dan kadar kes positif harian menunjukkan peningkatan sebanyak sebanyak 19.1 peratus berbanding sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 dilaksanakan,” katanya dalam surat kepada hospital swasta bertarikh hari ini. 

Salinan surat itu dikongsi Cawangan Kawalan Amalan Perubatan Swasta (CKAPS) KKM dalam satu ciapan di Twitter hari ini. 

Menurutnya, bilangan kes harian kini masih tinggi tanpa menunjukkan sebarang penurunan dalam jangka masa terdekat dan kadar kebolehjangkitan di seluruh Malaysia pada Isnin lalu adalah pada nilai 1.06.

“Kementerian juga ambil maklum, hospital swasta turut mengalami peningkatan perawatan pesakit Covid-19 pada masa kini, sama ada dirawat di katil wad atau katil ICU. 

“Susulan itu selari dengan langkah-langkah yang diambil oleh hospital KKM bagi menghadapi sebarang kemungkinan dan situasi luar jangka ini bagi mengelakkan negara terjerumus ke konflik kesihatan yang lebih serius, pihak Kementerian memerlukan kerjasama dan perhatian segera hospital swasta dalam beberapa perkara,” katanya. 

Dr Noor Hisham berkata, setiap hospital swasta perlu meningkatkan katil bagi pesakit Covid-19, walaupun bilangan maksimum katil yang boleh diagihkan untuk pesakit Covid-19 adalah berdasarkan kapasiti katil wad dan ICU yang dilesenkan. 

“Peningkatan agihan tersebut perlu berdasarkan kemampuan hospital swasta tersebut tanpa menjejaskan kualiti jagaan kesihatan pesakit. 

“Pegawai Perhubungan hospital swasta perlu memastikan terdapat peningkatan bilangan katil wad dan ICU yang diagihkan untuk pesakit Covid-19 berbanding bilangan sebelumnya yang dimasukkan ke pelaporan data harian ke CKAPS,” katanya. – Malaysiapost 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here