MEDIA di negara lain sudah kurang bercerita berkenaan Covid-19 kerana keadaan di negara mereka semakin terkawal selepas setahun, kata Ketua Penerangan Barisan Nasional (BN) Selangor, Isham Jalil.
Bagaimanapun, katanya situasi berbeza di Malaysia berikutan keadaan Covid-19 di negara ini semakin buruk.
Beliau juga mempersoalkan bagaimana Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin kekal sebagai tokoh pemimpin politik paling disenangi rakyat seperti dilaporkan media tempatan baru-baru ini.
Isham menerusi hantaran Facebooknya turut bertanya mengapa kerajaan menghantar bantuan sejuta pelitup muka ke Palestin, berbanding risau dengan keadaan Covid-19 di Malaysia.
“Atau dia perasan dia popular dan betul. Tapi dia masih takut nak buka Parlimen.
“PM (Perdana Menteri) Muhyiddin, cubalah lihat komen-komen rakyat di portal-portal dan media sosial, dan ambil hint dari situ,” tulisnya.
Terdahulu, Muhyiddin kekal sebagai tokoh pemimpin politik paling disenangi rakyat Malaysia meskipun tahap sokongan diterima semakin merosot bagi tempoh tiga suku tahun berturut-turut.
Berdasarkan kaji selidik dijalankan sebuah firma penyeldikan, O2 Research Malaysia pada suku pertama tahun 2021, Muhyiddin yang juga Presiden Bersatu menerima sokongan setinggi 51 peratus berbanding ketua parti-parti lain.
Jelas Penyelidik Kanan O2 Research Malaysia, Anis Anwar Suhaimi, kajian garis masa dijalankan bermula penggal kedua tahun 2020 sehingga penggal pertama tahun 2021 mendapati, sokongan terhadap Muhyiddin merosot daripada 66 peratus (suku kedua tahun 2020) kemudian 53 peratus (suku keempat 2020) sebelum jatuh kepada 51 peratus.
Namun katanya, sokongan itu masih tinggi berbanding pemimpin-pemimpin lain. – Malaysiapost

