Steven Sim promosi Pasar Palestin, tanda sokongan Gaza

0
1

“SAYA tak mampu untuk bantu di Gaza. Tapi, saya menyokong industri komuniti Palestin di Malaysia,” kata Ahli Parlimen Bukit Mertajam, Steven Sim Chee Keong.

Steven Sim berkata, beliau turut mengalu-alukan orang ramai untuk membeli di Pasar Palestin, Kuala Lumpur bagi membantu pembangunan ekonomi komuniti itu yang berada di Malaysia.

“Setiap tahun, di bulan Ramadan, saya dan isteri akan membeli kurma medjoul hasil bumi Palestin untuk dihadiahkan kepada kawan-kawan kami yang beragama Islam.

“Kami beli melalui Pasar Palestin, sebuah syarikat yang dimiliki komuniti Palestin yang bermastautin di negara kita. Mereka ambil bekalan dari Palestin.

“Kurmanya sedap, dan barang-barangnya berkualiti. Servis pun amat bagus. Sebab saya dah regular dan beli dalam kuantiti yang banyak, kadang-kala dia bagi saya ambil barang dulu dan bayar kemudian,” katanya menerusi Facebook.

Sehubungan itu, beliau meminta orang ramai tidak menganggap rakyat Palestin hanyalah bangsa yang hidup di atas ihsan bantuan semata-mata.

“Mereka sebenarnya mempunyai industri dan ekonomi tersendiri. Saya difahamkan, contohnya, Palestin mempunyai industri pembuatan kasut yang hebat.

“Namun ekonomi Palestin menghadapi cabaran besar akibat penindasan Zionis. Tanah-tanah pertanian yang subur dikawal oleh rejim Zionis.

“Manakala penjajahan berterusan menyebabkan kehidupan harian rakyat Palestin terganggu dan tidak dapat fokus untuk memajukan sektor industri mereka,” katanya.

Bagaimanapun, beliau berkata, terdapat banyak cara untuk menyokong pejuangan Palestin.

“Saya harap semua pihak berusaha ke arah pembangunan ekonomi Palestin.

“Justeru, kepada kawan-kawan yang berminat membeli-belah di Pasar Palestin, bolehlah layari laman web mereka www.pasarpalestin.com atau Instagram @pasarpalestin,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here