Keadaan hospital di Lembah Klang sangat kritikal – Dr Noor Hisham

0
1

KETUA Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, memaklumkan keadaan rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) Covid-19 hospital di Lembah Klang ketika ini sangat kritikal.

Beliau berkata, sehingga kini 79 peratus daripada jumlah katil ICU di hospital Covid-19 di Selangor dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur serta Putrajaya telah diperuntukkan untuk kes Covid-19.

“Jumlah kemasukan ICU Covid-19 (termasuk yang disyaki/kemungkinan) di Selangor dan WP KL / Putrajaya telah meningkat sebanyak 94% berbanding dua minggu yang lalu.

“Sistem penjagaan kesihatan di Lembah Klang berada di bawah tekanan yang amat besar. Petugas barisan hadapan sudah penat dan kelesuan.

“Bantu kami agar kami masih mampu untuk membantu anda jika dan bila masanya tiba. Duduk di rumah jika anda tidak mempunyai urusan penting di luar dan patuhilah SOP,” katanya dalam hantaran Facebook, sebentar tadi.

Dr Noor Hisham berkata, hospital Covid-19 juga telah meningkatkan jumlah katil ICU yang diperuntukkan untuk pesakit Clovid-19 dengan mengubah fungsi (repurpose) wad biasa.

“Bagaimanapun, ini juga mengurangkan peluang pesakit bukan Covid-19 untuk mendapatkan rawatan kritikal yang diperlukan,” katanya.

Hari ini, Malaysia mencatat 6,075 kes baharu Covid-19 iaitu yang tertinggi sejak negara dilanda wabak itu pada Februari tahun lalu.

Kali terakhir Malaysia merekodkan angka harian tertinggi ialah pada Januari lalu membabitkan sebanyak 5,725 kes.

Selangor kekal mencatat bilangan jangkitan baharu yang tertinggi dengan 2,251 kes. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here