UTM Skudai dikenakan PKPD mulai Jumaat ini

0
1

PERINTAH Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) dilaksanakan di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Skudai, Johor bermula Jumaat ini sehingga 3 Jun susulan penularan wabak Covid-19 membabitkan penghuni kampus universiti berkenaan.

Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melaporkan sehingga kini, sebanyak 49 kes positif Covid-19 direkodkan hasil daripada 346 ujian saringan yang dijalankan.

“Ujian saringan oleh KKM membabitkan penghuni Kolej Datin Seri Endon, Kolej Tun Hussein Onn, Kolej Tun Dr Ismail, Kolej 9 dan 10 serta Pusat Kesihatan.

“KKM juga melaporkan kadar positiviti yang tinggi iaitu 14.2 peratus dan taburan kes positif serta kontak rapat menular di beberapa kolej lain,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, PKPD dilaksanakan itu akan memudahkan KKM menjalankan pengesanan awal kes Covid-19 serta menyekat penularan jangkitan ke kawasan luar.

Sementara itu, Ismail Sabri berkata, PKPD di Kampung Permatang Tulang di Jasin, Melaka; Kampung Lubok Katak di Tapah, Perak dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Madai di Kunak, Sabah ditamatkan mulai tengah malam ini.

Beliau berkata, penamatan itu susulan KKM mengesahkan baki kes aktif di semua lokaliti berkenaan menunjukkan trend penurunan dengan kes positif sudah diberi rawatan dan kontak rapat diasingkan. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here