Pertimbangan holistik sebelum PKP menyeluruh – MB Selangor

0
1

KERAJAAN Negeri Selangor tidak menolak ataupun menghalang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) secara menyeluruh susulan penularan Covid-19 yang semakin serius, namun meminta pertimbangan secara holistik dalam beberapa aspek.

Menteri Besarnya, Datuk Seri Amirudin Shari, berkata kerajaan negeri secara konsisten mengatakan kuasa mengumumkan PKP menyeluruh adalah terletak di bidang kuasa Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang diketuai oleh Perdana Menteri dibawah Kerajaan Persekutuan.

Menurutnya, nyawa rakyat Malaysia khususnya Selangor menjadi keutamaan, namun harus ada sifat empati dan memikirkan kesan terhadap kehidupan masyarakat sekiranya pelaksanaan PKP secara menyeluruh.

“Berkenaan dengan ura-ura dan kemungkinan PKP menyeluruh di Selangor yang mula diperkatakan sejak beberapa hari lalu. Kerajaan negeri sememangnya memandang serius dan keutamaan adalah menjaga kesihatan serta kehidupan masyarakat.

“Nyawa adalah keutamaan. Kerajaan Selangor akan menerima PKP menyeluruh dengan harapan ia dilihat secara holistik.

“Holistik dari segi memerhati aspek kehidupan yang lain seperti golongan yang terpinggir, kesihatan mental, keadaan sosial dan sebagainya yang kita pelajari daripada PKP 1.0 tahun lalu,” katanya dalam sidang media di hari ini.

Menurutnya, semua aspek itu perlu diteliti agar dapat diseimbangkan dalam memastikan kehidupan masyarakat berjalan dengan baik jika tindakan itu dilaksanakan.

Katanya, selain itu aspek kemampuan dalam menanggung dan berdepan dengan segala kesan PKP secara menyeluruh juga perlu di ambil kira.

“Kita perlu jelaskan perkara ini supaya ada beberapa langkah dibuat seperti contoh pelaksanaan skim pembelajaran di rumah yang cekap dan menyeluruh, bantuan kewangan bagi golongan B40, prosedur operasi standard (SOP) yang jelas dan tidak berbolak balik serta mempunyai ‘exit plan’ yang tidak terburu-buru.

“Ujian saringan skala lebih besar dan menyeluruh juga diperlukan kerana ini sudah dibuktikan apabila diadakan ujian saringan secara harian peratus an jangkitan dikesan meningkat antara tujuh hingga sembilan peratus dan ini menunjukkan bahawa jangkitan besar sudah berlaku dalam komuniti,” katanya.

Beliau berkata, ujian saringan perlu diperbanyakan supaya mereka yang dijangkiti dapat diasingkan.

“PKP menyeluruh adalah satu tindakan yang bersifat sementara, namun jika ia sangat diperlukan ia harus difikirkan secara menyeluruh dan komprehensif,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here