Selangor bakal beli 2 juta dos vaksin Covid-19

0
2

Nurul Huda Abhar

KERAJAAN Negeri Selangor kini dalam peringkat akhir rundingan pembelian vaksin Covid-19 untuk rakyat negeri itu, kata Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari.

Beliau berkata, perbincangan berkenaan pembelian vaksin Covid-19 itu telah berlangsung sejak awal tahun ini, yang melibatkan anggaran sebanyak dua juta dos.

“Kita akan bentangkan laporan itu setelah kita pasti mendapat vaksin tersebut. Sekarang di proses akhir ingin membuat perjanjian dengan pembekal dan semoga pembekal memberikan perjanjian yang adil kepada kita.

“Setelah perjanjian itu telah disemak dengan pegawai undang-undang dan sebagainya kita akan teruskan perkembangan ini. Perbincangan berlangsung sejak Januari-Febuari yang lepas dan kini dalam peringkat akhir sebelum mendapat vaksin tersebut.

“Kita anggarkan ketika ini paling kurang dua juta (vaksin). Kita mulakan dulu dua juta, saya ingat itu sudah hampir meliputi satu per enam daripada keperluan semasa, yang lain-lain Kerajaan Persekutuan akan buat,” katanya kepada media hari ini.

Beliau ditemui ketika melawat orang ramai yang hadir bagi menjalani ujian saringan Covid-19 di Dewan Seri Siantan Sungai Tua, Batu Caves hari ini.

Dalam pada itu, Amiruddin juga menolak dakwaan sesetengah pihak mendakwa kerajaan negeri ingin mengaut keuntungan dengan menjual vaksin kepada rakyat.

Menurutnya, kerajaan negeri akan membuat pembelian vaksin menerusi perjanjian memorandum persefahaman (MoU) dengan pihak pembekal vaksin Covid-19.

“Terima kasih kepada pihak menteri, harap ia disegerakan dan tidak menghalang untuk kerajaan negeri membeli sebab kita akan buat proses MoU. Saya nak sebutkan di sini ada yang berkata kita hanya nak menjual (vaksin) dan sebagainya, itu separuh masak dah kurang benar.

“Kita akan bentangkan laporan itu setelah kita pasti mendapat vaksin tersebut. Sekarang di proses akhir ingin membuat perjanjian dengan pembekal dan semoga pembekal memberikan perjanjian yang adil kepada kita,” ujarnya.

Semalam, Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK), Khairy Jamaluddin dilaporkan berkata kerajaan negeri dibenarkan membeli bekalan vaksin dengan syarat ia mestilah mendapat kelulusan daripada Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA).

Khairy berkata, Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 (CITF) mengambil maklum jenis vaksin yang mahu diperolehi negeri-negeri berkenaan.

Bagaimanapun, beliau mengulangi bahawa pembekalan vaksin percuma mencukupi kepada semua individu yang layak di setiap negeri bagi pelaksanaan PICK. – Malaysiapost

Artikel berkaitan :
https://malaysiapost.com.my/2021/05/16/orang-ramai-diminta-ke-pusat-penilaian-covid-19-di-daerah-masing-masing/

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here