JAIS tingkat SOP masjid dan surau

0
2

JABATAN Agama Islam Selangor (JAIS) mengeluarkan ketetapan baharu berhubung bilangan jemaah dibenarkan bersolat Jumaat dan lima waktu di semua masjid dan surau.

Ketetapan baharu tersebut dibuat berikutan peningkatan kes pandemik Covid-19 di Selangor.

Berdasarkan infografik yang dikongsi Exco hal ehwal agama, Mohd Zawawi Ahmad Mughni di laman Facebook, ketetapan kepada semua masjid dan surau itu berkuat kuasa mulai solat Maghrib hari ini sehingga suatu ketetapan baru dikeluarkan JAIS dari tertakluk kepada perkembangan semasa.

“Bagi masjid kariah, solat Jumaat dan solat lima waktu hanya dibenarkan 23 jemaah ( pentadbir sahaja), manakala bagi surau kariah, solat lima waktu dibenarkan 16 jemaah (pentadbir sahaja).

“Bagi surau solat Jumaat pula, solat Jumaat dan solat lima waktu hanya dibenarkan 16 jemaah (pentadbir sahaja),” tulis kenyataan itu.

Berdasarkan penjadualan semula itu, pentadbir masjid dan surau juga dikehendaki melaksanakan solat dengan pendekatan pencegahan Covid-19 dengan mengambil langkah penyusunan semula penjarakan fizikal 1.5 meter di antara jemaah; dan menjarakkan selang atau baris (saf) jemaah dengan jemaah berikutnya.

Semua program pengimarahan masjid dan surau ditangguhkan melainkan aktiviti atau program kuliah atau tazkirah dalam talian, pengurusan solat jenazah serta bacaan Yasin

“Kuliah dan tazkirah dalam talian melalui FB Live boleh dilaksanakan bahkan sangat digalakkan dilaksanakan di semua masjid dan surau di Selangor agar program ilmu dan tarbiyah terus imarah walaupun terdapat halangan kepada jemaah untuk hadir ke masjid atau surau.

“Pengurusan Solat Jenazah bukan Covid-19 dibenarkan untuk dilakukan di masjid dan surau tetapi kehadiran jemaah atau kaum kerabat terdekat tidak boleh melebihi 25 orang.

“Bacaan Surah Yasin dan zikir munajat sangat digalakkan untuk dilakukan pada setiap malam semasa wabak pandemik Covid-19. Majlis Tahlil arwah turut dibenarkan dengan syarat pelaksanaan program ini hanya membabitkan had bilangan jemaah sedia ada yang dibenarkan hadir,” menurut kenyataan itu.

Dalam pada itu, pentadbir masjid dan surau dalam tempoh pelaksanaan PKP hendaklah terus memberi akses dan kemudahan ruang solat kepada musafir, pemandu e-hailing, khidmat penghantar makanan dan pemandu kenderaan awam dengan mematuhi SOP yang ditetapkan.

JAIS mengambil perhatian serius mengenai perkembangan terkini penularan Covid-19 yang menular luas dalam komuniti dengan penemuan klasifikasi varian-varian baru yang lebih pantas merebak.

Kenyataan itu juga mengingatkan agar semua pentadbir masjid dan surau terus bersabar serta dapat bekerjasama bagi membantu agensi barisan hadapan dalam memerangi pandemik ini. – Malaysiapost

Artikel berkaitan:
https://malaysiapost.com.my/2021/05/17/jais-kesan-masih-ada-langgar-sop-surau-masjid/

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here