PELAKON, Puteri Sarah atau nama sebenarnya Puteri Sarah Liyana Megat Kamaruddin, 35, disahkan positif Covid-19 selepas menjalani ujian calitan ketiga, semalam.
Isteri kepada pengarah dan pelakon, Syamsul Yusof itu berkongsi perkhabaran berkenaan menerusi laman Instagram, hari ini.
Puteri Sarah memaklumkan bahawa beliau tidak menyangka dirinya positif Covid-19 berikutan tidak mengalami simptom sepanjang menjalani tempoh kuarantin kendiri.
“Sebaik-baik kita menjaga prosedur operasi standard (SOP) dan tidak bercampur dengan orang, akhirnya kecundang juga.
“Bermula penggambaran, ada dua kontak rapat positif Covid-19 tetapi saya adalah taip C dan orang yang dijangkiti tidak dekat dengan saya. Namun, Allah mungkin nak cuci dosa-dosa, saya terkena juga,” katanya.
Beliau berkata, sebelum ini, dia sudah menjalani dua kali ujian calitan Covid-19 itu dan keputusannya negatif.
Bagaimanapun, katanya, beliau mula kehilangan deria rasa, cirit-birit dan selesema sejak 14 April lalu.
“Sedihnya, semalam buat lagi ujian calitan sebab Sarah tak ada deria rasa bila makan dan juga deria bau. Jadi pergi test, saya disahkan positif apabila melakukan ujian calitan ketiga, semalam,” katanya.
Susulan itu, pelakon drama ‘Sabarlah Duhai Hati’ itu memohon maaf pada sesiapa yang pernah bertemu dengannya sejak 10 Mei lalu.
“Saya memohon maaf kepada sesiapa yang menjadi kontak rapat dengan saya sejak 10 Mei lalu. Saya mohon pergilah menjalani ujian calitan.
“Minta maaf kepada keluarga, suami dan anak-anak. Doakan kami semua.
“Nasihat saya, jangan keluar rumah jika tiada keperluan penting. Jaga diri semua,” katanya. -Malaysiapost

