Lebih baik rasa perit untuk tempoh singkat – Dr Asyraf Wajdi

0
1

ISU pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) secara menyeluruh kini hangat diperkatakan susulan peningkatan kes harian Covid-19 yang semakin membimbangkan.

Perkara itu turut dibangkitkan Ketua Pemuda Umno, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki yang meminta pandangan warga maya mengenai penerimaan masyarakat jika kerajaan melaksanakan tindakan itu.

“Dengan kes sudah meningkat kepada 6,075 kes hari ini, apa pandangan semua jika kerajaan isytihar ‘total lockdown’ sebagaimana PKP 1.0?,” soalnya dalam satu hantaran di Facebook hari ini.

Asyraf Wajdi juga bertanya sama ada masyarakat setuju jika PKP menyeluruh dilaksanakan dengan prasyarat tertentu antaranya semua sektor diwajibkan tutup; kerajaan perlu pertimbangkan bantuan khas kepada rakyat semua peringkat serta kerajaan wajar guna kuasa di bawah Ordinan Darurat untuk menggesa institusi perbankan dan kewangan menawarkan moratorium.

“Jangan ada lagi dwi-standard dalam penguatkuasaan mahupun pematuhan prosedur operasi standard (SOP) dan PKP hingga terbentuk persepsi wujud perbezaan tindakan terhadap golongan ‘kayangan’ dengan ‘marhaen’.

“Lebih baik rasa perit untuk satu tempoh singkat termasuk menutup sektor ekonomi yang terbukti menjadi penyumbang kepada penyebaran wabak, berbanding berterusan rasa payah berulang-ulang akibat pendekatan PKP yang ditanggapi ‘separuh masak’,” katanya.

Menurutnya, kebimbangan terjejasnya ekonomi jika PKP menyeluruh dilaksanakan ada asasnya, tetapi keperluan untuk tangani pandemik Covid-19 lebih mendesak dan ada kalanya tidak boleh mengharapkan untuk mencapai dua keadaan ideal pada satu masa.

“Lebih baik kita utamakan tangani Covid-19 sehingga ke tahap sangat minimum daripada berterusan mengenakan perintah PKP ‘separuh masak’ yang lebih menyukarkan usaha memulihkan ekonomi untuk jangka panjang,” katanya.

Sementara itu, rata-rata yang membalas diruangan komen beliau bersetuju PKP secara menyeluruh dilaksanakan kerana sudah tidak sanggup menghadapi PKP ‘separuh masak’ yang dilihat tidak berkesan mengurangkan kes Covid-19. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here