Peniaga dikompaun RM 10,000 benar makan dalam warung

0
1

SEORANG peniaga di Sungai Petani, Kedah dikompaun RM10,000 hari ini akibat melanggar Prosedur Operasi Standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) apabila membenarkan pelanggan makan di dalam warung miliknya.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Adzli Abu Shah berkata, warung di tapak tempat letak kereta di Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) diserbu kira-kira jam 9.45 pagi tadi.

“Ketika serbuan oleh pasukan pemantau Covid-19 dari Balai Polis Sungai Petani, terdapat beberapa pelanggan sedang makan lalu bertempiaran melarikan diri,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Susulan itu, beliau berkata, peniaga terbabit dibawa ke balai polis untuk tindakan kompaun kerana gagal mematuhi SOP PKP.

“Kompaun dikeluarkan di bawah Perkara 16 Peraturan-peraturan Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (PPDPPB) (Langkah-Langkah Di dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2021,” katanya.

Tambah Adzli, polis tidak berkompromi dan tidak memilih bulu ke atas sesiapa yang melanggar PKP dan akan mengambil tindakan kompaun sekiranya melanggar SOP yang ditetapkan. -Malaysiapost

Foto Kredit: Ihsan PDRM

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here