KEMENTERIAN Pembangunan Luar Bandar (KPLB) menafikan dakwaan terdapat gerakan dalam kalangan pegawai kementerian itu bagi memastikan pelantikan Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) yang baharu bukan dari kalangan masyarakat Orang Asli.
Menterinya, Datuk Dr Abd Latiff Ahmad, berkata kementerian sedang mengenal pasti calon-calon yang bersesuaian untuk mengisi kekosongan jawatan Ketua Pengarah JAKOA yang ketika ini masih kosong.
Katanya, pencalonan Ketua Pengarah JAKOA dijalankan mengikut prosedur yang ditetapkan di bawah kuasa Yang di-Pertuan Agong, seperti yang termaktub dalam Seksyen 5, Akta 134, Akta Orang Asli 1954.
“Walau bagaimanapun, masyarakat Orang Asli sentiasa menjadi pilihan utama KPLB untuk dicalonkan sebagai Ketua Pengarah selaras dengan Perlembagaan Persekutuan Perkara 8 (5)(C) untuk melantik Orang Asli daripada jawatan-jawatan bersesuaian dalam perkhidmatan awam.
“Pemilihan calon ini tidak dibuat secara rawak tetapi berdasarkan kepakaran termasuk pengalaman yang luas dan mahir dalam aspek pentadbiran jabatan, pengurusan kewangan, pengurusan projek pembangunan dan sosio-ekonomi serta mempunyai jaringan kerjasama yang erat di antara jabatan di peringkat Persekutuan Negeri mahupun Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO).
“Di kesempatan ini, KPLB turut menyatakan ucapan terima kasih kepada semua Agensi Kerajaan, Pertubuhan Bukan Kerajaan serta Individu yang prihatin dengan masyarakat Orang Asli.
“Pandangan dan bantuan yang disalurkan oleh semua pihak dapat membantu kementerian dalam menjalankan tugas dan tanggungjawab kepada masyarakat Orang Asli,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Terdahulu, Ahli Parlimen Cameron Highland Ramli Mohd Nor menerusi kenyataan mengutuk gerakan ‘Little Napolean’ birokrasi kerajaan dalam KPLB, apabila mahu melantik Ketua Pengarah JAKOA bukan dari kalangan warganegara berketurunan Orang Asli Semenanjung. – Malaysiapost
Artikel berkaitan :
https://malaysiapost.com.my/2021/05/19/kp-jakoa-mesti-berketurunan-orang-asli-semenanjung-ramli/

