Rakam video bogel sebelum ugut wang

0
1

SINDIKET pemerasan kini menggunakan cara merakam sebelum mengugut menyebarkan gambar atau video bogel, bagi menjerat mangsa untuk mendapatkan wang mudah.

Majoriti mangsa ialah penuntut institusi pengajian tinggi (IPT) yang berkongsi gambar atau video bogel kepada suspek selain supek sendiri merakam video menerusi panggilan video yang dilakukan.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, sejak Januari sehingga kini sebanyak 21 laporan polis diterima berhubung kejadian berkenaan.

“Mangsa yang terjerat itu sudah membuat bayaran membabitkan kerugian sebanyak RM38,788 bagi tempoh berkenaan.

“Kebanyakan mangsa yang terjerat mengenali suspek menerusi media sosial selain dilakukan bekas suami dan teman lelaki sendiri,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, modus operandi suspek ialah memperdayakan mangsa sama ada lelaki atau wanita di laman sosial seperti Facebook, Whatsapp, Michat dan lain-lain aplikasi.

Menurutnya, suspek akan membuka pakaian terlebih dulu sebelum mengajak individu terbabit untuk berbogel sama dan merakam perbuatan itu.

“Tujuan rakaman dibuat adalah untuk memeras ugut mangsa dan sekiranya mangsa tidak membayar mereka akan menyebar gambar atau video di media sosial atau kepada ahli keluarga.

“Setakat ini sebanyak dua kes sudah dituduh di mahkamah manakala 19 kes lagi masih dalam siasatan.

“Polis sudah mengenal pasti 12 mangsa yang terbabit dan membuat bayaran kepada individu yang memeras ugut,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menasihati masyarakat supaya bijak menggunakan media sosial dan perlu diingatkan sebarang aksi langsung di aplikasi itu mudah dirakam oleh pihak kedua. -Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here