Neelofa hadapi satu pertuduhan, PU Riz 2 pertuduhan

0
1

USAHAWAN dan selebriti terkenal, Noor Neelofa Mohd Noor atau Neelofa akan didakwa esok atas pertuduhan tidak membuat imbasan aplikasi MySejahtera ketika masuk premis di Nilai, Negeri Sembilan bulan lalu.

Suaminya, Muhammad Haris Mohd Ismail atau PU Riz pula akan didakwa dengan dua pertuduhan kerana gagal membuat imbasan MySejahtera dan tidak memakai pelitup muka.

Ketua Polis Daerah Nilai, Superintendan Mohd Fazley Ab Rahman, berkata kertas siasatan berhubung kes pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) melibatkan selebriti terbabit bersama suaminya di Nilai telah dikembalikan dari Pejabat Peguam Negara, Putrajaya hari ini.

“Keputusannya kedua-dua dituduh mengikut Peraturan 19, Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) (Kawalan Pergerakan Bersyarat) (No 4) (Pindaan) (No 12) 2021.

“Hukuman bagi setiap pertuduhan adalah denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya. Kedua-duanya akan dituduh di Mahkamah Seremban esok,” katanya dalam satu kenyataan malam ini.

Beliau menasihatkan orang ramai terus kekal mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) serta SOP dikeluarkan pihak berkuasa dalam memutuskan rantaian Covid-19.

“Prinsip tiada individu yang mengatasi undang-undang adalah diutamakan dalam penguatkuasaan undang-undang,” tegasnya.

Neelofa, 32, dan PU Riz sebelum ini disiasat atas dakwaan ingkar SOP susulan tular video berdurasi 15 saat yang dimuat naik Neelofa di Instagram Story memaparkan dia dan suami berada di sebuah kedai karpet dipercayai di Pusat Borong Nilai 3, Nilai pada 1 Mei lalu.- Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here